KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyediakan
kertas siasatan untuk mendapatkan perakuan Timbalan Pendakwa Raya bagi
membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap wakil mahasiswa
didapati melanggar peraturan - berkumpul dan mendirikan khemah di
Dataran Merdeka.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, DBKL
mempunyai bukti lengkap berhubung salah laku yang dibuat oleh kumpulan
berkenaan walaupun sudah diberikan nasihat dan amaran supaya
menghentikan tindakan mereka.
Menurutnya, tindakan merampas khemah yang dilaksanakan DBKL semalam
dibuat setelah notis kesalahan dan tawaran kompaun atas kesalahan
meletakkan barang-barang tanpa kebenaran di tempat awam yang dikeluarkan
terhadap mereka tidak diendahkan.
"Pada 21 April 2012, pada jam 5.15 petang, DBKL sekali lagi mengarahkan
mereka mengosongkan kawasan bagi memberi laluan kepada ambulans diraja
yang diarah bertugas sempena konset pada malam itu.
"DBKL merampas barang mereka setelah mereka ingkar arah pengosongan dan
barang dituntut semula pada 22 April jam 1.15 pagi oleh Mohd Fahmi Reza
Mohd Zain yang mana dia telah menandatangni borang akuan tindakan
sebelum barangan mereka dikembalikan. Pada masa itu, dia juga diberi
maklum akan berhadapan dengan tindakan DBKL jika mereka masih berkumpul
dan meletakkan barang-barang berkenaan," katanya pada sidang media di
sini pagi tadi.
Pada sidang media sama, beliau turut menjelaskan situasi sebenar
insiden pagi semalam yang mana tindakan rampasan dilakukan sekali lagi
apabila mendapati kumpulan itu masih berkumpul di Dataran Mereka.
Penguat kuasa DBKL yang mengiringi Mohd Fahmi ke balai polis Dang
Wangi, juga telah dihalang oleh seorang awam membawa kepada penahanan
dua individu itu oleh pihak berkuasa.
Ahmad Fuad dalam masa sama turut menyatakan kesediaan memberi kebenaran
kepada Bersih 3.0 menggunakan Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton dan
Bola Sepak Cheras untuk berhimpun, tetapi bukan di Dataran Merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan