HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 April 2012

Bersih 3.0: Nik Aziz ucap 'tahniah'

Wartawan Sinar Harian

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
 
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
 
 
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang dikritik Umno Kelantan atas alasan menghasut orang ramai menyertai perhimpunan Bersih 3.0, mengucapkan tahniah kepada rakyat yang telah berhimpun di ibu negara, semalam.

Menteri Besar Kelantan ini berkata, rakyat hadir di ibu negara untuk menyatakan sokongan tuntutan Bersih 3.0 memandangkan ketika Bersih kerajaan diam dan membisu manakala  apabila Bersih 2.0 diadakan, kerajaan buat ‘pekak badak’.
 
Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa terharu terhadap rakyat Malaysia yang berada di hampir seluruh dunia seperti Sydney, Melbourne, Makkah, Madinah dan Mesir turut menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0.
 
"Tuntutan ini jelas membuktikan rakyat tidak ingin lagi berada di bawah pentadbiran kerajaan yang tidak adil khususnya dalam ketelusan pilihan raya yang bersih dan adil.
 
“Rakyat Malaysia telah cerdik, pandai dan terdiri dari golongan intelek, jadi kerajaan tidak boleh lagi berterusan melakukan ketidakadilan dalam SPR, apa lagi untuk berterusan memenangkan kerajaan Umno dan BN,” kata beliau semalam, menerusi laman Twitter dan dipetik Harakah Daily.
 
Kelmarin, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan Nik Abdul Aziz mengarahkan ahli parti itu menyertai perhimpunan Bersih 3.0 satu tindakan cuba menggalakkan pemberontakan rakyat.
 
Mustapa berkata, Nik Abdul Aziz sewajarnya memberi nasihat yang baik dan bukannya menyokong tindakan yang mampu menggugat keharmonian negara.
 
Nik Abdil Aziz berkata, kehadiran pelbagai kaumn secara beramai-ramai bukan atas faktor kaum, sebaliknya kerana inginkan kebenaran dan keadilan tertegak di negara ini.
 
Nik Aziz bagaimanapun melahirkan rasa kesal di atas tindakan kerajaan yang ‘mengasari’ peserta himpunan disembur dengan air berasid dan gas pemedih mata sehingga ada peserta yang mengalami sesak nafas.
 
Menurut beliau, jika Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putera Al-haj masih hidup, sudah tentu allahyarham akan menyokong tuntutan Bersih kerana menyedari ketidakadilan banyak berlaku dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
“Lagipun sebelum ini allahyarham turut menyokong perjuangan Parti Melayu Semangat 46 kerana menyedari perjuangan Umno kini sudah menyimpang dari perjuangan sebenar,” ujarnya.

Tiada ulasan: