HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 April 2012

Saksi kejadian kereta polis diterbalik cerita kisah sebenar

Aedi Asri

 

KUALA LUMPUR: Seorang saksi kejadian kereta polis diterbalik berhampiran kompleks membeli belah Sogo semalam, menceritakan hal sebenar kepada Keadilan Daily.

Muhammad Nasrul Alam Ash’ari, 23, berkata, beliau nampak sebuah SUV polis datang dari belakang dengan laju dan tanpa hon hingga hampir melanggar ambulans dan demonstran.

Selepas itu, beliau berkata, sebuah kereta Waja polis muncul dari arah sama – laju dan tanpa hon – menyebabkan kebanyakan demonstran terkejut lari ke tepi jalan.

Reaksi spontan akibat pemanduan itu, katanya, menyebabkan demonstran marah hingga ada yang membaling botol plastik sambil menjerit meminta polis perlahankan kenderaan.

“Kereta itu kemudian terbabas ke sebelah kanan, melanggar kaki lima dan pokok, sebelum merempuh tiga demonstran yang berada di situ.

“Seorang terpelanting ke tepi, seorang lagi tersepit badan di celah-celah bahagian enjin yang sedia kemek,” katanya ketika dihubungi.

Nasrul bagaimanapun tidak pasti keadaan seorang lagi yang turut dilanggar berikutan suasana kelam kabut ketika itu.

Beliau berkata, sebilangan demonstran mengusung lelaki yang terpelanting ke ambulans sementara sebilangan lain membawa keluar seorang polis dari kereta itu.

“Lelaki yang terpelanting itu cedera di mulut dan perut tetapi saya tidak pasti sejauh mana teruknya kecederaan mangsa.

Katanya, anggota polis itu kemudian dibawa ke ambulans sama dan pada masa itulah kereta dialih dengan menterbalikkannya untuk menyelamatkan mangsa yang tersepit itu.

Ketika berbuat demikian, Nasrul berkata, sebilangan anggota polis dilihat menuju ke tempat kejadian, menyebabkan ramai lari bertempiaran termasuk beliau.

“Apabila kembali ke situ, kereta sudah pun diterbalikkan dan sejumlah anggota polis sedang menangkap demonstran yang memakai baju Bersih,” katanya.

Tiada ulasan: