HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 April 2012

Bersih 3.0: Jangan cenderung kezaliman BN

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR, 27 April: Rakyat Malaysia termasuk umat Islam dinasihatkan jangan bersekongkol dengan pemerintah-pemerintah yang zalim yang telah melakukan banyak penyelewengan seperti Barisan Nasional.

 Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Razali (gambar) berkata, pelbagai penyelewengan pengurusan harta negara oleh pentadbiran negara yang dipimpin oleh Barisan Nasional telah diserlahkan menerusi Laporan Audit Negara 2010 yang lalu sehingga melibatkan pelbagai ketirisan dana negara.

Jelasnya, Al-Quran memperingatkan di dalam surah Hud, ayat 113 yang bermaksud: Dan janganlah kamu cenderung hati bersama orang-orang yang zalim, pasti kamu disentuh api neraka.

Katanya, antara kezaliman yang berlaku juga ialah apabila Pilihan raya Umum untuk memilih pemerintah tidak dijalankan secara telus dan adil.

“Kegagalan melaksanakan pilihan raya secara adil dan bersih merupakan satu kezaliman pemerintah terhadap hak-hak rakyat untuk memilih pemimpin yang baik dan beramanah,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menambah, penggunaan institusi kerajaan untuk membantu kempen parti politik pemerintah yang berlaku sejak sekian lama adalah kezaliman terhadap hak rakyat Malaysia yang terdiri daripada kalangan penyokong pemerintah dan pembangkang.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk umat Islam hadir beramai-ramai dalam Himpunan Bersih 3.0, esok untuk bersama-sama memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman.

Khairuddin menegaskan, hak berhimpun menyatakan pandangan adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin oleh perlembagaan.

“Islam juga menggesa umatnya menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim dan mengkategorikannya sebagai salah satu jihad menggunakan lidah,” ujarnya lagi.

Ini, jelasnya sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ketahuilah sesungguhnya sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah jangan sampai kehebatan manusia menghalang seseorang menyatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik Jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tiada ulasan: