HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 April 2012

Bersih 3.0: Muhyiddin mahu Ambiga, Pakatan tanggungjawab

Dr G.Manimaran

Ambiga: Bersih 3.0 berjaya, desakan didengar
 
Ambiga yang dikawal ketat oleh pihak keselamatan dan Unit Amal Pas melambai ke arah peserta perhimpunan dan sempat berucap pendek.
 
 
PUTRAJAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu penganjur perhimpunan Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga dan pembangkang, harus bertanggungjawab atas insiden keganasan di sekitar ibu negara semalam sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda awam serta kecederaan serius.

Sambil menyifatkan insiden semalam sebagai 'amat malang', Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai penganjur, Ambiga harus menghadapi tindakan undang-undang kerana menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan anggota polis.

"Bagi saya ini satu yang amat malang. Apa yang berlaku semalam sepatutnya tidak berlaku. Bagi saya pihak pembangkang harus bertanggungjawab.

"Ambiga tidak boleh lepas daripada tanggungjawab sebab dia kata dia jadi penganjur utama. Jadi kita serah kepada pihak berkuasa apakah tindakan wajar yang boleh diambil. Bukan kita ikat kebebasan. Itu kita sudah bagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis dialog nasional pendidikan negara 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Ambiga dilaporkan mengakui kegagalannya mengawal emosi penyokongnya yang merempuh penghadang polis berhampiran Dataran Merdeka walaupun perkara itu dijanjikannya sebelum ini tidak akan berlaku.
Muhyiddin berkata pembangkang mengambil kesempatan, menggunakan perhimpunan semalam untuk kepentingan politik mereka dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata perhimpunan semalam yang berakhir dengan keganasan dan rusuhan ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan rakyat negara ini.

"Malangnya hal yang kita lihat semalam bukan tuntutan Ambiga sebenarnya. Beliau sendiri tidak dapat mengawal keadaan. Nampaknya ia (perhimpunan) sudah diculik oleh parti-parti pembangkang dan kita tahu apakah muslihat mereka.

"Ini adalah sebahagian daripada rancangan mereka untuk menghadapi pilihan raya umum," katanya.
Justeru, beliau berkata, rakyat sendiri boleh membuat penilaian terhadap taktik kotor dan muslihat sebenar pembangkang yang mendalangi perhimpunan itu walaupun pada dasarnya kerajaan bersetuju menawarkan stadium untuk mengadakan

perhimpunan itu tanpa mengganggu keamanan dan ketenteraan awam.
  
Katanya, kerajaan juga menyedari pembangkang akan bertindak lebih agresif sekiranya Barisan Nasional(BN) mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum nanti.

"Kita jangka mereka nak buat sesuatu yang lebih daripada itu untuk menimbulkan kemarahan rakyat, mungkin instigate (menghasut) anak-anak muda untuk keluar ke jalan raya macam mana yang berlaku di setengah-setengah negara.

"Kita sudah boleh baca. Sebab itu ada Bersih 1, Bersih 2,Bersih 3. Kalau lambat lagi pilihan raya, mereka akan buat Kotor (Bersih) 4,5 dan 6 sebab mereka tak bersih lagikan. Itu muslihat mereka. Kita tahu strategi itu dibuat begitu," katanya.

Menurutnya, tuduhan penganjur dan pembangkang kononnya proses pilihan raya di negara ini masih tidak telus adalah tidak benar memandangkan wakil pembangkang turut serta dalam jawatankuasa penambahbaikan proses pilihan raya dan laporannya  telah dibentangkan di Parlimen.

Katanya, jawatankuasa itu sebulat suara mempersetujui 22 perkara, lebih daripada tuntutan Bersih sebelum ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan tuntutan tersebut secara berperingkat-peringkat.

"Booklet yang dikeluarkan SPR baru-baru ini menyatakan satu persatu setiap perkara secara terperinci termasuklah pilihan raya, sistem pilihan raya yang akan dilaksanakan nanti. Saya fikir sudah lebih daripada apa yang dikehendaki," katanya.

Menurutnya, polis menjalankan tanggungjawab dengan begitu profesional dalam mengawal rusuhan semalam.

"Polis mengambil satu sikap yang agak baik untuk mengawal perasaan mereka sehingga mereka tidak berbuat apa-apa, tetapi malangnya pihak-pihak yang ada di situ tidak dapat kawal perasaan mereka sebaliknya mencederakan anggota polis," katanya.

Tegasnya, perbuatan yang tidak diingini antaranya mencederakan anggota polis, memusnahkan kenderaan polis dan harta benda awam ternyata boleh dihindarkan sekiranya perhimpunan itu diadakan secara aman di stadium tertutup.

"Bermakna apa yang mereka janji perhimpunan itu adalah aman sebenarnya tidak aman lagi. Harta benda rosak, polis cedera, sampai saya dengar ada pegawai polis masuk ICU (Unit Rawatan Rapi)," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: