HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 April 2012

Padah Provokasi, Bersih 3.0 Dicemar Puak Pengacau




SAYANG sekali permulaan yang baik demonstrasi Bersih 3.0 pada Sabtu lalu yang bertujuan menuntut reformasi sistem pilihan raya berakhir dengan tragedi rusuhan dan keganasan hingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda awam.

Semuanya gara-gara agenda tersembunyi sesetengah peserta demonstrasi khususnya di kalangan penyokong parti pembangkang.

Inilah akibat dan kesudahannya apabila penyertaan kumpulan tersebut dalam demonstrasi itu semata-mata didorong oleh perasaan marah dan dendam terhadap sesuatu pihak hingga melupakan matlamat asal penganjurannya.

Jika dihitung dari segi angka dan jumlah kehadiran penyokong Bersih 3.0 di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu, tidak dinafikan bandaraya Kuala Lumpur khususnya di sekitar jalan-jalan utama masuk ke kawasan Dataran Merdeka dipenuhi dengan 'orang kuning dan hijau'.

Masing-masing hadir dengan bangga memakai kemeja-T kuning tertera logo Bersih 3.0 ataupun kemeja-T hijau bagi kumpulan anti Lynas.

 
 
Lautan manusia membanjiri jalan berhampiran LRT Masjid Jamek. --fotoTHESTAR Oleh AZMAN GHANI
 
Mereka bebas memakai pakaian atau aksesori bewarna kuning, menyanyi, bersorak, malah berarak memenuhi jalan raya.

Perlakuan berkenaan yang sungguh tidak dibenarkan khususnya apabila membabitkan perhimpunan jalanan, namun anggota polis yang mengawal di setiap lokasi seakan 'tutup mata' membenarkan peserta demonstrasi menyuarakan pandangan dan permintaan mereka.

Tiada siapa pun dihalang daripada berucap menggunakan pembesar suara malah tidak ada satu kain rentang pun yang diturunkan oleh pihak berkuasa walaupun pada dasarnya ia melanggari undang-undang.

Saya sendiri melihat bagaimana anggota polis yang mengawal di kawasan sekitar Brickfields seakan tidak mengendahkan kehadiran penyokong Bersih 3.0.

Polis dengan hal mereka iaitu sekadar memantau keadaan, manakala peserta demonstrasi sibuk dengan persediaan mereka untuk bergerak di jalanan menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tun Sambanthan.
Malah sebaik sahaja kumpulan berkenaan mula berjalan sambil melaungkan sorakan seperti 'hidup, hidup!' serta 'bangkit rakyat!', anggota polis trafik terus membantu mengawal keadaan lalu lintas.

Kumpulan itu kemudiannya terus menuju ke Pasar Seni sebelum meneruskan perjalanan ke Dataran Merdeka melalui jalan di hadapan LRT Masjid Jamek.

Situasi di Masjid Negara juga kelihatan terkawal sehinggalah kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira pukul 12.36 tengah hari.

Menerusi ucapan ringkasnya di hadapan ribuan peserta demonstarsi di perkarangan Masjid Negara, Anwar mula membakar semangat mereka dengan kata-kata berunsur provokasi dan hasutan.

 
 
Mohamed Azmin ketika menyampaikan ucapan di hadapan penyokong Bersih 3.0. --fotoTHESTAR Oleh KAMARUL ARIFFIN
 
"Kita tunggu sampai Zohor di sini, selepas itu kita ke Dataran Merdeka.

"Kita akan merdekakan Dataran Merdeka hari ini," katanya sambil disambut dengan laungan 'reformasi' oleh peserta himpunan.

Malah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut bersama Anwar di Masjid Negara juga tidak kurang hebatnya melakukan tindakan berbaur provokasi dengan bersorak dan menyanyikan lagu 'Merdekakan Dataran Merdeka'.

Selain itu media turut melaporkan perbuatan provokasi oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali yang menyeru peserta supaya bangkit menentang kerajaan yang disifatkannya sebagai zalim.

 
 
Seorang anggota Unit Amal PAS dilihat memulakan rempuhan ke arah polis di hadapan KLCC. --fotoTHESTAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIS
 
"Kita akan masuk ke Dataran Merdeka walau apa juga keadaan yang berlaku. Dataran ini adalah milik rakyat, bukannya milik kerajaan atau DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)," katanya sebelum penyokong Bersih 3.0 merusuh dan memecahkan kawalan polis di Dataran Merdeka.

Tindakan perusuh membuka kawat berduri dipasang sekitar Dataran Merdeka yang menjadi kawasan larangan seperti diperintah Mahkamah Majistret menjadi punca keadaan menjadi huru-hara dan tidak terkawal.

Tanpa mempedulikan sekatan, seorang peserta mengalihkan kawat berduri itu di persimpangan Jalan Raja/Jalan Tun Perak sebelum penyokong lain menyerbu ke dalam kawasan berkenaan pada jam 2.50 petang.

 
 
Anggota Unit Amal PAS dilihat merempuh ke arah polis di hadapan KLCC. --fotoTHESTAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIS
 
Terdahulu lebih awal kekecohan turut dilaporkan berlaku di hadapan Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, sekumpuIan Unit Amal PAS yang sepatutnya ditugaskan mengawal penunjuk perasaan dilihat merempuh hadangan polis diikuti ratusan lain di Jalan Ampang, menyebabkan 25 anggota keselamatan cedera.

 
 
Sekumpulan anggota Unit Amal PAS yang sepatutnya mengawal peserta demonstrasi dilihat memulakan rempuhan ke arah polis di hadapan KLCC. --fotoTHESTAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIS
 
Tindakan-tindakan kumpulan pengacau seperti inilah yang sebenarnya mencemarkan demonstarsi yang pada awalnya berjanji akan berlangsung dalam keadaan aman.

Pelbagai pihak menuntut Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga bertanggungjawab terhadap rusuhan yang berlaku.

 
 
 
Perusuh mula mengikut tindakan Unit Amal PAS merempuh sekatan polis di hadapan KLCC. --fotoTHESTAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIS
 
Jelas sekali bekas Presiden Majlis Peguam itu gagal memastikan penyokong parti politik khususnya di kalangan pembangkang yang sejak daripada awal memberi sokongan penuh terhadap demonstrasi Bersih 3.0 agar mengawal emosi dan disiplin ketika berdemo.

Malah kepercayaan dan kelonggaran yang diberikan kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan aman telah disia-siakan oleh puak pengacau ini.

Melihat kepada kejadian huru-hara ini, boleh disimpulkan bahawa perjuangan Ambiga menerusi Bersih sebenarnya telah dimanipulasikan pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Bersih sebenarnya hanya sebagai platform untuk mencapai hasrat dan angan-angan politik puak-puak ini dan bukannya medan untuk memperjuangkan tuntutan sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

Tiada ulasan: