HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 April 2012

Pas: Perhimpunan Bersih 3.0 tiada kekacauan

Wartawan Sinar Harian

tuan ibrahim tuan man


SHAH ALAM - Perhimpunan ‘Duduk Bantah’ Bersih 3.0 yang dirancang untuk terus diadakan di Dataran Merdeka hari ini, walaupun ditegah polis, akan berlangsung  secara aman kerana dibuat dalam keadaan duduk sebagai tanda protes dan tidak menghalang mana-mana pihak di kawasan itu.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perhimpunan kali ini tidak menimbulkan kekacauan kerana peserta hadir bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk menyokong tuntutan Bersih yang dianggotai 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Demonstrasi adalah normal. Saya yakin tidak akan timbul kekacauan hari ini kerana Himpunan Hijau di Kuantan, Pahang, baru-baru ini, walaupun berpindah ke kawasan lain, peserta tidak menimbulkan kekacauan.

“Saya anggap kenyataan Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang menyuarakan pendirian tidak menyokong penganjuran Bersih 3.0 merupakan pendapat peribadinya bukan pendirian Pakatan Rakyat (PR), “ katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Aziz yang menegaskan tindakan mengarahkan orang ramai terus menyertai perhimpunan­ di Dataran Merdeka menggalakkan masyarakat melanggar undang- undang.

Abdul Aziz yang juga Senator Dewan Negara menolak mana-mana pihak melakukan perkara menjurus pelanggaran undang-undang.

Tuan Ibrahim berkata, perhimpunan yang diadakan dua jam itu diadakan santai dan menggalakkan peserta Pas datang membawa ahli keluarga mereka.

“Saya juga mengharapkan mereka berdisiplin, tidak akan menimbulkan kekacauan dan membawa peralatan­ membahayakan,” katanya.

Tiada ulasan: