Roketkini.com
Orang Malaysia suka tengok televisyen. Dulu waktu tak ada TV, kita
main gasing, wau bulan, dan kadang kala berhimpun melawan Malayan Union.
Tapi itu dulu. Sekarang sudah ada televisyen. Maka kita isi masa lapang
dengan menonton televisyen. Sejak ada ratusan rangkaian di ASTRO, kita
pun semua jadi suka tengok ASTRO.
ASTRO ini Ananda Krishnan punya. ASTRO kebetulan baru saja memenangi People’s Choice Putra Brand Awards.
Di laman webnya ASTRO mengucapkan terima kasih kepada sekalian
pelanggannya dengan memberikan akses percuma kepada semua 130 salurannya
secara percuma sampai 6 haribulan Mei nanti.
Maka terlepoklah sekalian suri rumah menghadap sinetron lepas Zohor sambil lipat kain.
“Eh Yang, bila pulak kita dapat channel tu? Abang tak ada
langgan pun!” kata kau, separuh terkejut melihat isteri kau menonton
sinetron Indonesia yang tidak pernah kau langgani, tepat waktunya kau
mahu tengok orang puteh di England main sepak bola.
Menjelang perhimpunan aman BERSIH 3.0 esok petang, agaknya apa yang
disiarkan ASTRO, yang secara tiba-tiba menganugerahkan rancangan
televisyen percuma kepada mereka yang lebih selesa duduk rumah,
terbongkang tengok TV daripada turun ke Kuala Lumpur bersama ratusan
ribu rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama menuntut pilihan raya yang
bersih, adil dan bebas.
Adakah rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang begitu suka
tengok TV akan memilih untuk lepak tengok ASTRO berbanding turun ke
jalan-jalan Kuala Lumpur dan mendesak reformasi sistem pilihan raya yang
lebih telus?
Adakah minda Melayu boleh dibeli dengan rancangan TV percuma? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan