HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 April 2012

SPR alu-alukan pemerhati luar negara dapatkan penjelasan

SINAR HARIAN

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalu-alukan pemerhati pilihan raya dan parti politik dari luar negara untuk mendapatkan penjelasan yang tepat berhubung sistem dan proses pilihan raya di Malaysia.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata perjumpaan sebegini akan memberi ruang dan peluang kepada delegasi asing untuk belajar dan memantau proses pilihan raya di negara ini.

"Menjelang pilihan raya umum ke-13, sudah tentu banyak lagi delegasi dari luar negara, termasuk pemerhati pilihan raya akan datang berjumpa dengan parti-parti politik di sini.

"Sehubungan itu, SPR mengalu-alukan delegasi ini berjumpa juga dengan SPR untuk mendapatkan maklumat tepat. Sekiranya delegasi dari luar negara ini hanya mendapatkan maklumat daripada parti-parti politik sahaja, maklumat itu berkemungkinan berat sebelah.

"SPR yang bertanggungjawab menguruskan pilihan raya di negara ini boleh memberi penjelasan fakta yang betul dan tepat. Ini baru adil kepada SPR dan juga delegasi yang datang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Ahli SPR, Datuk Christopher Wan menerima kunjungan hormat Misi Mencari Maklumat Antarabangsa mengenai Pilihan Raya di Malaysia.

Delegasi 12 orang itu berada di Malaysia atas undangan pejabat Ketua Pembangkang. Mereka diberi taklimat mengenai sistem dan proses pilihan raya di negara ini, diikuti sesi soal jawab.

Wan Ahmad berkata perjumpaan dengan delegasi dari negara seperti Jerman, India, Pakistan, Filipina, Australia, Thai, Afrika Selatan, Turki, Indonesia dan Tunisia itu sangat berjaya.

"Mereka yang hadir telah mendengar penjelasan mengenai sistem dan proses pilihan raya di negara ini dan mereka berpeluang menanyakan soalan," katanya.

Antara soalan yang dikemukakan kumpulan delegasi tersebut termasuk akses media kepada parti politik yang saksama, daftar pemilih yang bersih, pengundi luar negara dan persempadanan semula kawasan pilihan raya, katanya.

"Setelah mendengar penjelasan SPR tadi, saya mendapati mereka (delegasi) jelas dan lebih memahami sistem dan proses pilihan raya di negara ini. Beberapa anggota delegasi telah memaklumkan bahawa SPR jujur memberi penjelasan," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: