HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 April 2012

'Ejen provokasi timbulkan panik, kekacauan'


Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor Faridah Abdull menyalahkan ejen provokasi yang menimbulkan panik dan kekacauan di Dataran Merdeka apabila gas pemedih mata digunakan pada perhimpunan BERSIH 3.0 Sabtu lalu.

Bercakap ketika ditemui di wad Hospital Kuala Lumpur hari ini, Faridah berkata, beliau pada waktu itu berada dalam kumpulan orang ramai yang berhimpun di satu sudut di Jalan Tun Perak.

Pada waktu itu, orang ramai mula bersurai selepas menerima arahan berasingan daripada pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dan juga oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Faridah berkata beliau mendengar individu di belakangnya – yang memakai baju kuning BERSIH – menyuruh orang ramai maju ke hadapan dan berkata "Anwar suruh baling."

Katanya, beliau berpendapat bahawa arahan itu tidak kena kerana beliau sendiri mengenali Anwar secara peribadi.

Selepas itu, individu dalam kumpulan berkenaan mula membaling objek dan polis pula melancarkan kanister gas pemedih mata ke dalam kumpulan tersebut, katanya lagi.

Peserta berkenaan kemudiannya mula panik dan Faridah seterusnya dipijak, menyebabkan beliau mengalami kecederaan.

Katanya, polis dan pegawai hospital memberitahunya mengenai kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke hospital tersebut semalam.

Bagaimanapun, Faridah berkata beliau tidak membenarkan Najib mahupun Hishammuddin melawatnya.

Tiada ulasan: