SHAH ALAM – Penganalisis politik percaya, himpunan Black505 yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, semalam, bukanlah yang terakhir seperti yang didakwa setengah pihak, sebaliknya akan berterusan.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berpendapat, ada pihak masih tidak berpuas hati dengan hasil himpunan semalam.
Menurutnya, tidak ada provokasi dan insiden pada perhimpunan semalam.
Jika berlaku provokasi daripada pihak berkuasa, ada pihak yang akan bawa cerita itu sehingga ke luar negara.
“Selepas ini Parlimen akan dijadikan medium, kerana ruangan itu paling efektif.
“Mungkin akan wujud pelbagai cubaan untuk menimbulkan kekecohan. Akan berlaku ‘pakatan’ beramai-ramai keluar dewan, membuat himpunan kecil dan sebagainya. Itu tidak mustahil boleh berlaku,” katanya semalam.
Katanya, itu juga salah satu protes terhadap tuntutan mereka dalam setiap himpunan yang dianjurkan.
“Perkara ini sukar untuk dihentikan dalam satu tempoh singkat. Pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan PRU13 lalu akan melakukan apa sahaja agenda.
“Saya menjangkakan ia akan berlaku sehingga ke penghujung persidangan Parlimen nanti,” katanya.
Azmi menyifatkan pandangannya adalah berdasarkan himpunan di Padang Merbok semalam yang dikatakan sebagai lokasi terakhir himpunan dan ada pihak yang berharap kehadiran rakyat melebihi perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.
Parlimen akan memulakan persidangan pertama penggal ini pada 24 Jun ini dan akan berakhir 5 Disember 2013.
Beliau berkata, himpunan seumpama ini juga memberi impak negatif terhadap kestabilan negara khususnya dalam bidang ekonomi, di mana pihak berkuasa terpaksa berdepan dengan pelabur asing.
“Jika himpunan seperti ini diteruskan, pelabur asing enggan meneruskan pelaburan di negara ini.
“Kesannya bukan hari ini atau esok, sebaliknya masa hadapan. Ini akan menggambarkan kerajaan negara kita tidak stabil dan gagal menangani perkara seperti ini,” katanya.
Tambah beliau, jika perkara ini berterusan, ia akan menerima nasib yang sama dengan negara seperti Turki.
“Agenda kedua-duanya hampir sama. Lihat apa yang berlaku di Turki sekarang. Mereka dilanda ketidakstabilan negara dan ekonomi mereka. Tidak mustahil, ia boleh berlaku pada kita.
“Himpunan semalam telah meninggalkan kesan paling kecil terhadap rakyat, iaitu kesesakan lalu lintas. Saya menggesa semua pihak terlibat supaya memikirkan masa depan. Jika tidak bersetuju dengan keputusan PRU13 lalu, gunakan saluran yang betul,” katanya.
Himpunan Black505 semalam menuntut tiga perkara, iaitu kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan, mengadakan pilihan raya semula bagi 30 kawasan dan menghentikan persempadanan semula sehingga kepimpinan SPR baru dilantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan