logo cuepacs
Cuepacs
 
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengambil alih kemudahan pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada bank komersial.
  
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini berikutan kebimbangan anggota Cuepacs bahawa polisi baru itu akan membebankan kedudukan kewangan peminjam.
  
"Kami memutuskan ia mesti diurus oleh Bahagian Pinjaman Perumahan. Kita tidak mahu ia diagih kepada bank komersial kerana ramai bimbang akan terdapat bermacam-macam caj yang mungkin dikenakan oleh bank komersial nanti," katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Pertama Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhad di sini hari ini.
  
Perkara itu antara usul yang diputuskan pada mesyuarat berkenaan.
  
Kerajaan dalam Belanjawan 2013 memutuskan untuk memindah kemudahan pinjaman perumahan kerajaan untuk diurus oleh bank komersial mulai Januari tahun ini.

Omar berkata Cuepacs juga akan terus mengesa agar faedah pinjaman perumahan empat peratus yang dikenakan oleh kerajaan diturun kepada satu peratus.
  
"Selain itu, kami juga mahu kerajaan menyemak semula untuk menaikkan elaun perumahan bulanan dari RM180 sekarang kepada RM450, manakala bantuan sara hidup (Cola) diseratakan di seluruh negara pada kadar RM300 sebulan," katanya.
  
Cuepacs juga mencadangkan agar kerajaan membenarkan pengeluaran bayaran gratuiti bagi penjawat awam sebanyak 20 peratus pada usia 50 tahun.
  
"Kami mencadangkan supaya pengeluaran dibenarkan untuk membantu pembiayaan yuran anak-anak di peringkat pengajian tinggi, membaiki atau membayar hutang rumah dan membuat umrah," katanya.
  
Beliau berkata Cuepacs juga akan mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam supaya menyelesaikan semakan gred dan tangga gaji bagi hampir 200 kategori pekerjaan dalam perkhidmatan awam yang kebanyakannya melibatkan kumpulan sokongan, selewat-lewatnya akhir tahun ini.
  
Keputusan mesyuarat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Dr Ali Hamza minggu ini. - Bernama