Roketkini.com
GEORGE
TOWN: DAP desak supaya Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis
(IPCMC) ditubuhkan seperti yang dicadang Suruhanjaya Siasatan Diraja
Polis, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005 sebagai satu cara untuk
mengembalikan keyakinan umum terhadap pasukan polis.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini sangat
diperlukan memandangkan begitu banyaknya berlaku kes tahanan mati dalam
tahanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dua yang terbaru
membabitkan N. Dharmendran, 32, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, 21
Mei lalu dan R. Jamesh Ramesh, 40, di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang,
pada 26 Mei.
Katanya, IPCMC sangat diperlukan, terutamanya kerana
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ternyata bukan saja
satu alternatif yang buruk, malah membazirkan dana awam apabila RM14
juta dibelanjakan hanya untuk mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan
disiplin.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang kesal dengan
kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low
yang mendakwa tidak ada keperluan untuk menubuhkan IPCMC kerana sudah
ada EAIC, pemantau bebas untuk agensi penguatkuasa menyiasat aduan salah
laku polis.
“Paul Low telah memungkiri janjinya menyokong cadangan
menubuhkan IPCMC yang lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC yang
terbukti membazirkan dana awam apabila berbelanja RM14 juta untuk
mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin.
“Kenyataan itu sangat hipokrit kerana Low sendiri pernah
mengkritik kegagalan kerajaan untuk melaksanakan IPCMC ketika menjadi
Presiden Transparency International Malaysia mendakwa tindakan kerajaan
mencairkan IPCMC yang sedang dalam cadangan adalah indikator jelas
kerajaan tidak mampu mengawal pihak yang berkuasa,” katanya dalam
kenyataan media di Komtar, di sini, semalam.
Guan Eng berkata, ini bermakna Paul Low begitu cepat
menyesuaikan diri dengan budaya penipuan Barisan Nasional (BN) apabila
memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan penubuhan IPCMC yang lebih
tinggi martabatnya berbanding EAIC.
Menurutnya, Paul Low juga pernah menyebut bahawa rakyat
mesti yakin dengan pasukan polis yang bersih daripada sebarang pengaruh
luar dan siasatan dilakukan secara adil terhadap semua laporan polis
tetapi malangnya kini sudah berubah nadanya dan nampak bersetuju dengan
EAIC yang terbukti gagal.
“Baru-baru ini bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid
Mohamad memperikai kebolehan EAIC yang menerima peruntukan RM14 juta
untuk dua tahun, tetapi hanya mengeluarkan dua amaran dan mengambil satu
tindakan disiplin antara 2009 dan 2012.
“Menurut Tun Hamid, dalam tempoh itu 347 aduan diterima, 60
daripadanya diarah dilakukan siasatan penuh dan tetapi hanya tiga yang
benar-benar disiasat iaitu satu kes dirujuk kepada badan disiplin Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dan dua lagi ditutup kerana tuduhan berganda,”
katanya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan