Roketkini.com
KUALA
LUMPUR, : Kerajaan didesak segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas
Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menyiasat secara menyeluruh
semua kes tahanan mati dalam tahanan pihak berkuasa yang kini mencecah
tujuh orang tidak sampai setahun.
Berikutan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony
Pua menggesa bekas Pengerusi Transparency International Malaysia, Datuk
Paul Low yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri agar tidak
berdolak-dalik untuk menyegerakan penubuhan IPCMC berdasarkan latar
belakangnya sebagai seorang pemimpin masyarakat sivil yang lantang
menyuarakan isu ketelusan dan akauntabiliti.
“Apa yang mengecewakan kita ialah apabila beliau enggan menyokong penubuhan IPCMC,” ujar Pua dalam satu kenyataannya.
Menteri berkenaan sebelum ini dilaporkan berkata bahawa
tidak wujud sebarang keperluan untuk menubuhkan IPCMC kerana sudah ada
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Bagaimanapun, selepas ditanya mengenai keperluan IPCMC
dalam kes kematian jurutera N Dharmendran baru-baru ini, Paul Low
kemudiannya membuat kenyataan ‘lain’ dan mendakwa wujud satu mekanisme
sedia ada dalam EAIC.
Menurut Pua, dalam satu laporan Transparency International
pada 2009, ia menyatakan bahawa pertukaran cadangan penubuhan IPCMC
kepada Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) pada 2007 menunjukkan ketidakmampuan
kerajaan mengawal pihak berkuasa terbabit.
“Di sini, keadilan amat penting dan tidak boleh dilaksanakan dengan wajar jika tidak ada badan yang menyemak kuasa polis.
“Kami merayu sepenuh hati agar Paul Low yang sebelum ini
lantang bercakap soal ketelusan dan keadilan agar bertegas dalam Kabinet
BN,” kata Pua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan