HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Jun 2013

EAIC pertimbang mulakan siasatan terhadap kematian dalam tahanan, tembakan polis

Oleh Boo Su-Lyn

PUTRAJAYA– Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mempertimbangkan membuka penyiasatan terhadap kematian dalam tahanan atau tembakan maut polis atas inisiatif sendiri, selepas lapan orang mati dalam tahanan polis tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar mengatakan suruhanjaya itu sedang melihat kepada mekanisme untuk menyiasat kematian dalam tahanan N. Dharmendran berumur 32 tahun, yang mati pada 21 Mei disebabkan dipukul berkali-kali semasa berada dalam tahanan reman di ibu pejabat polis kontigen di Kuala Lumpur termasuk kematian R. Jamesh Ramesh di ibu pejabat polis kontigen Pulau Pinang pada 26 Mei.

“Kami sedang melihat bagaimana kami boleh menyiasat kematian dalam tahanan polis, seperti Dharmendran dan seorang lagi di Pulau Pinang, walaupun tiada sesiapa buat aduan,” kata Nor Afizah Hanum kepada The Malaysian Insider semasa wawancara eksklusif di pejabatnya pada Isnin.

“Kami mahu menyiasat kes yang mempunyai kepentingan awam, walaupun kami tidak menerima sebarang aduan,” tambah beliau.

Seksyen 28 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan mengatakan EAIC boleh memulakan siasatan dengan inisiatif sendiri mengenai perkara melibatkan kepentingan awam.

Nor Afizah Hanum mengatakan EAIC – yang menyiasat aduan salah laku terhadap 19 agensi penguatkuasaan, termasuk polis – terjejas disebabkan kekurangan tenaga kerja untuk menyiasat kematian dalam tahanan sebelum ini, menyatakan suruhanjaya itu masih belum menerima aduan bersifat jenayah.

Bekas hakim Mahkamah Sesyen  itu juga mengatakan EAIC, yang ditubuhkan dua tahun lalu pada April 2011, hanya mempunyai seorang pegawai penyiasat dan bajet tahunan sebanyak hanya RM7 juta.

“Kami juga tidak mahu menyiasat dua kali terhadap kematian dalam tahanan. Ketika kami memulakan siasatan, mereka harus hentikan siasatan, jadi kita perlu mulakan dengan berhati-hati,” kata Nor Afizah Hanum, merujuk kepada polis.

Seorang lagi lelaki, P. Karuna Nithi, 43 tahun, mati dalam tahanan polis Sabtu lalu di lokap Tampin, Negeri Sembilan, membangkitkan lagi kemarahan dan desakan untuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memastikan pasukan polis bertanggungjawab terhadap penyalahgunaan kuasa.

Menurut kumpulan hak asasi Suaram, terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012, manakala lapan lagi kes setakat ini berlaku dalam masa lima bulan pada tahun ini.

Satu Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) yang melawat penjara Malaysia dan pusat tahanan melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, “seramai 1,500 orang mati semasa ditahan pihak berkuasa”.

Nor Afizah Hanum menegaskan EAIC yang bertanggungjawab kepada Parlimen, mempunyai kuasa luas dalam menyiasat kes-kes salah laku, walaupun ia tidak mempunyai kuasa tatatertib.

“Kita langsung tidak tunduk kepada polis. Kita independen,” katanya. “Pegawai penyiasat kami mempunyai kuasa sama dengan yang dipunyai oleh penyiasat polis.”

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan memberitahu Parlimen Oktober lalu 298 orang ditembak mati oleh polis diantara 2007 dan Ogos 2012, termasuk 151 rakyat Indonesia dan 134 rakyat Malaysia di mana secara puratanya seorang mati ditembak dalam setiap minggu.

Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC) yang mana Malaysia mencadangkan sebagai rujukan untuk menubuhkan IPCMC, menyiasat secara automatik setiap kes apabila polis melakukan tembakan secara terbuka.

Nor Afizah Hanum bagaimanapun, mengatakan pasukan polis Malaysia mempunyai mekanisme dalaman untuk menyiasat kes seperti itu.

“Tidak adil untuk mengatakan tiada tindakan diambil. Bagaimana anda tahu tiada tindakan diambil terhadap polis yang melepaskan tembakan sesuka hati? Saya tahu beberapa kes di mana polis mengambil tindakan,” katanya.

Beliau mengatakan semasa bekerja sebagai pendakwaraya pada tahun 1990an, seorang pegawai polis telah ditamatkan perkhidmatannya kerana melepaskan tembakan di udara apabila isterinya menangkapnya tidur dengan wanita lain.

Nor Afizah Hanum menegaskan EAIC diminta menyiasat bukan sahaja kes kematian dalam tahanan atau tembakan maut polis, tetapi juga kes-kes lain yang mempunyai kepentingan awam dan tidak semestinya membawa maut.

“Contohnya, warga China yang disuruh berbogel dan mencangkung,” katanya, merujuk kepada kes pada 2005 di mana seorang wanita Malaysia, secara silap dirujuk sebagai warga China disuruh berbogel oleh polis dan mencangkung semasa berada dalam lokap.

Apabila ditanya sama ada polis perlu dikehendaki melaporkan kepada EAIC pada kes-kes kematian dalam tahanan atau tembakan maut, Nor Afizah Hanum mengatakan pita merah tidak perlu ditambah.

"Kita tidak boleh menyekat diri kita sendiri," katanya, sambil menyatakan pihak polis tidak memaklumkan kepada EAIC tentang kematian Dharmendran.

Nur Afizah Hanum menambah, EAIC memerlukan bajet tahunan sekurang-kurangnya RM25 juta, termasuk sekurang-kurangnya 10 pegawai penyiasat dan 10 pegawai penyelidik untuk menyiasat lebih banyak kes.

Beliau mendedahkan EAIC telah menerima 469 aduan sehingga 31 Mei tahun ini sejak ia ditubuhkan pada tahun 2011, dengan 353 aduan terhadap polis. Dua puluh satu aduan telah dibuat terhadap Jabatan Imigresen, 15 terhadap JPJ, 10 terhadap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan sembilan terhadap Jabatan Kastam.

Penyiasatan telah dijalankan untuk 124 daripada 469 aduan, dengan satu kes menyebabkan cadangan tindakan tatatertib terhadap polis.

EAIC menyiasat aduan salah laku terhadap pasukan polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Agensi Antidadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Perhubungan Perusahaan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan (Penguatkuasaan), Kementerian Pelancongan (Unit Penguatkuasaan Bahagian Lesen), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (Penguatkuasaan) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (Penguatkuasaan).

Tiada ulasan: