Datuk Dr S Subramaniam
Datuk Dr S Subramaniam
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan Indonesia berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat Malaysia terlibat dalam sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang menyebabkan insiden jerebu berulang di negara itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kerajaan tidak pernah campur tangan dalam soal perundangan negara itu meskipun membabitkan beberapa syarikat Malaysia yang beroperasi di sana.

"Sesiapapun, termasuk syarikat Malaysia dan Singapura, jika mereka beroperasi di Indonesia dan mereka tertakluk di bawah undang-undang negara itu.

"Jika syarikat Malaysia didapati bersalah, kita tak beritahu Indonesia supaya tidak kenakan tindakan terhadap mereka.

"Buatlah apa yang sepatutnya terhadap mereka di bawah undang-undang mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat, di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar Indonesia, Balthasar Kambuaya telah mengenal pasti lapan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia dan disiasat kerana disyaki melakukan pembakaran di Riau dan Jambi yang menjadi punca keadaan jerebu di Malaysia dan Singapura.

Lapan syarikat terbabit adalah milik pelabur dari Malaysia, antaranya ialah PT Langgam Inti Hiberida, PT Bumi Rakksa Sejati, PT Tunggal Mitra Plantation, PT Udaya Loh Dinawi, PT Adei Plantation, PT Jatim Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industri dan PT Mustika Agro Lestari.

Bagaimanapun, Subramaniam menafikan sebuah syarikat perladangan tempatan terlibat selepas syarikat terbabit mengesahkan hal tersebut.

Namun beliau menegaskan mana-mana pihak tidak berhak mempertikaikan undang-undang republik itu meskipun ia membabitkan syarikat Malaysia.

"Setakat ini Sime Darby tampil dan menafikan mereka terbabit.

"Kita dimaklumkan, tiada bukti untuk mengatakan syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran terbuka itu," jelasnya.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengulangi aktiviti pembersihan ladang sebegitu khususnya penanaman semula kelapa sawit agar tidak melanggari peraturan yang ditetapkan Indonesia bagi mengelak insiden jerebu itu berulang lagi.

"Saban tahun kita hadapi insiden ini dan ia bukan satu bencana alam, sebaliknya bencana yang diwujudkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

"Indonesia mempunyai undang-undang untuk mengawalnya dan mereka ketat dan tegas dalam hal itu," tegasnya.