KELMARIN satu lagi siri himpunan dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang didokong kuat oleh pembangkang.
Himpunan yang diberikan nama Black505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur ini diuar-uarkan sebagai himpunan kemuncak bantahan rakyat terhadap keputusan PRU13.
Ia diadakan bagi menggesa pimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa menipu rakyat dalam pilihan raya lalu supaya meletakkan jawatan.
PR mengemukakan tiga tuntutannya dalam himpunan itu selain menggesa pegawai tertinggi SPR berundur.
Mereka mahu pilihan raya kecil diadakan di kawasan yang sudah difailkan petisyen dan menggesa supaya tidak ada persempadanan semula dibuat selagi pegawai SPR sekarang tidak letak jawatan.
Sudah belasan siri himpunan sama diadakan di ibu negara dan SPR sendiri sudah menegaskan, mereka tidak perlu undur kerana mereka tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak pun untuk melakukan penipuan pilihan raya.
Malah mereka mengalu-alukan perihal penipuan ini jika ada, di bawa ke mahkamah supaya tindakan mengenainya dapat diambil.
Mereka yang bersalah perlu dihukum walaupun mungkin membabitkan pihaknya. Namun itu semua tidak pernah dihiraukan.
Penganjur tetap mahu mengadakan himpunan, kononnya mahu kerajaan mendengar inilah denyut nadi rakyat! Rakyat membantah keputusan PRU13.
Habis dicanang seluruh dunia, pilihan raya negara korup tetapi di mana buktinya? Adakah turun ke jalanan ini menyelesaikan masalah? Di mana sudahnya budaya begini?
Nyata peserta dan penganjur, dalam keadaan lautan manusia, gagal untuk memastikan himpunan itu mematuhi sepenuhnya syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Biarpun Sekretariat Black505 sebelum itu beberapa kali mengadakan rundingan dengan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi utama perhimpunan, namun permohonan mereka tetap ditolak.
Apa yang berlaku kelmarin, mereka tidak lagi menghiraukan larangan itu!
Acara kemuncak seakan-akan perhimpunan Bersih itu menetapkan tujuh lokasi utama berkumpul sebelum berarak ke Padang Merbok.
Para peserta bersama dengan ketua masing-masing bergerak dari Pekeliling, Jalan Raja Laut, Sogo, Jalan Pudu, Masjid Negara, Brickfields dan Universiti Malaya.
Lautan manusia bergerak menuju ke Padang Merbok, dalam keadaan kualiti udara yang tidak elok akibat jerebu, sebahagiannya pula membawa anak kecil.
Bukan sahaja peraturan APA 2012 yang tidak diikuti, malah keadaan cuaca yang boleh mengundang bahaya si anak kecil juga tidak dipedulikan.
Gerombolan peserta himpunan yang mula memenuhi ibu negara sejak awal pagi itu menyebabkan kesesakan yang teruk khususnya di Jalan Parlimen dan Jalan Tun Abdul Razak.
Ini bukanlah kali pertama warga kota berhadapan dengan senario ini, mungkin ada yang sudah 'masak' dengan perihal kesesakan di kala himpunan anjuran NGO dan pembangkang ini, namun ada juga yang merasakan kehidupan mereka terganggu.
Perhimpunan aman yang selesai kira-kira jam 6 petang itu bagaimana pun tidak berkesudahan di situ apabila Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bertegas mendirikan 40 khemah di Padang Merbok itu.
Tindakan SAMM itu sebagai memanjang protes terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama dua hari sehingga ke hari Anggota Dewan Rakyat mengangkat sumpah pada hari ini.
Meskipun mereka berhak berhimpun secara aman namun mereka sekali lagi melanggar peraturan kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila mendirikan struktur di atas tanah milik DBKL tanpa kebenaran.
Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan mendirikan khemah atau apa jua barangan adalah kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Walaupun DBKL sudah memberikan notis kepada mereka semalam supaya merobohkan khemah dan meninggalkan kawasan itu, segerombolan anak muda ini tetap berdegil.
Mereka mahu bertahan di sana sehingga hari ini dalam keadaan cuaca yang semakin buruk.
Jika sesuatu yang buruk berlaku, siapakah pula yang akan dipersalahkan? Renung-renungkanlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan