Dr Lee Hong Tee menganggap tindakan PAS Segamat
membantah tarian gelek sebagai “ultra konservatif” dan Pakatan Rakyat
akan “mundur” di Johor jika menang dalam plihanraya umum lalu di Johor.

PETALING JAYA: Pemuda PAS mengecam dan menyifatkan Ketua MCA Segamat, Dr Lee Hong Tee sebagai biadap dan tidak menghormati sensitiviti Islam.
Dr Lee sebelum ini menganggap tindakan PAS Segamat sebagai “ultra konservatif” dan Pakatan Rakyat akan “mundur” di Johor jika menang dalam plihanraya umum lalu di Johor.
PAS telah membantah tarian gelek yang dipaparkan di sebuah pasar raya di daerah Segamat.
Pemuda PAS mengingatkan Dr Lee supaya menjaga sensitiviti dan adab resam masyarakat terutama mereka yang beragama Islam.
“Umat Islam merasa marah dengan kenyataan Dr Lee dan menganggap beliau tidak wajar menyatakan demikian dalam negara yang majoriti penganutnya beragama Islam,” kata Setiausaha Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Beliau berkata, apakah tarian gelek yang memaparkan wanita dengan pakaian separuh lucah dianggap sebagai aktiviti yang sihat?
“Jika demikian, apakah sama tarian gelek dengan tarian tiang di kelab-kelab malam yang memaparkan wanita berpakaian separuh bogel, apakah itu satu aktiviti yang sihat dan berseni juga?” katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Faizi berkata, menurut gambarnya jelas menunjukkan suatu diskriminasi terhadap wanita.
`Pakaian seksi’
“Wanita tersebut dipakaikan dengan pakaian seksi separuh bogel serta menari mengikut irama dan liuk lentuk dengan tubuh yang mempesona.
“Sepatutnya wanita itu dimuliakan. Tempatnya bukan di situ, mereka mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai pemimpin, pengurus serta golongan yang dihormati. Meletakkan mereka sebagai tontotan kaum lelaki adalah suatu penghinaan terhadap wanita,” katanya lagi.
Khairul Faizi juga menegaskan, tindakan PAS Segamat adalah mahu memelihara masyarakat supaya tidak berlaku gejala maksiat sehingga boleh menimbulkan perkara yang jauh lebih negatif seperti perzinaan, jenayah seperti merogol, gangguan seksual terhadap wanita, mencabul dan lain-lain lagi.
Katanya, sudah banyak kajian yang dibuat menunjukkan punca jenayah-jenayah seksual ini berlaku adalah disebabkan gejala maksiat yang berleluasa, antaranya wanita yang berpakaian terlalu menjolok mata serta aksi ranjang yang merangsang nafsu.
Dalam hal ini, katanya Pemuda PAS ingin bertanya di mana suara pemimpin Umno yang lantang memperjuangkan Islam selama ini.
“Di mana suara-suara ulama’ mereka serta pemimpin NGO mereka yang kononnya begitu tegar mahu Islam dilaksanakan.
“Beranikah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Menteri Dalam Negeri menyelar kenyataan MCA Segamat dengan mencadangkan MCA berhijrah keluar negara kerana tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan adab masyarakat negara ini sebagai mana beliau lantang menghalau keluar rakyat yang menuntut pilihan raya yang adil dan demokrasi,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan