HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Jun 2013

Majlis Peguam, Suaram tetap mahu IPCMC walaupun EAIC mula berjalan

Oleh Boo Su-Lyn

 Bedah siasat yang dilakukan dalam kes kematian Dharmendran mendapati mendiang maut akibat dibelasah. — Gambar failKUALA LUMPUR — Majlis Peguam dan pertubuhan hak asasi manusia Suaram bertegas dalam penubuhan badan bebas memantau polis, walaupun Suruhanjaya Integriti Agensi Pengkuatkuasa (EAIC) telah mula menyiasat kes kematian dalam tahanan.

Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah penting, serta menyatakan badan tersebut kurang berkesan walaupun EAIC mempunyai bidang kuasa disipilin, memandangkan terlalu banyak agensi yang perlu diawasinya.

“Apa yang diperlukan ialah aduan yang yang berdedikasi dan suruhanjaya salahlaku khusus ke atas pasukan polis kerana mereka adalah agensi penguatkuasa terbesar dalam negara,” kata Leong kepada The Malaysian Insider hari ini.

EAIC yang dipertanggunjawabkan menyiasat aduan salah laku terhadap pasukan polis dan 18 agensi penguatkuasaan yang lain, hanya boleh membuat cadangan kepada pihak berkuasa tatatertib agensi penguatkuasa yang berkaitan selepas selesai siasatan.

“Pihak polis boleh atau tidak boleh bersetuju dengan keputusan siasatan EAIC dan kemudiaanya menolak cadangan EAIC,” kata Leong.

Semalam, EAIC mengumumkan siasatan sulungnya melibatkan kematian dalam tahanan yang melibatkan N. Dhamendran dan R. Jamesh Ramesh, kedua-duanya mati dalam tahanan polis baru-baru ini.

Kes terbaru melibatkan kematian adalah pada 26 Mei lalu semasadi ibu pejabat polis kotinjen Pulau Pinang.

Tiga anggota polis itu turut didakwa awal semalam kerana terlibat dalam kes pembunuhan Dhamendran, kira-kira dua minggu selepas bekas pemandu lori 32 tahun tersebut dibelasah hingga mati pada 21 Mei semasa berada dalam lokap di ibu pejabat polis kontinjen di sini.

“Kami mengalu-alukan dan memuji Peguam Negara ke atas tindakan tegas dan pantas dalam membawa pertuduhan terhadap anggota polis terbabit,” kata Leong.

Penyelaras Suaram R. Thevarajan juga menegaskan IPCMC diperlukan kerana kuasa tatatertibnya, selain mengkritik EAIC kerana tidak mengambil inisiatif untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan sebelum ini.

“Untuk membina keyakinan rakyat, mereka perlu proaktif,” kata Thevarajan kepada The Malaysian Insider hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar berkata baru-baru ini suruhanjaya itu tidak menyiasat kes kematian tahanan sebelum ini kerana kekurangan tenaga kerja.

Beliau berkata EAIC hanya mempunyai seorang pegawai penyiasat dan peruntukan tahunan sebanyak RM7 juta.

Penasihat DAP Lim Kit Siang menegaskan hari ini IPCMC “lebih berkuasa” untuk menangani penyalahgunaan kuasa yang menjadi-jadi dalam pasukan polis.

“Hakikatnya apabila EAIC mengambil masa yang lama untuk menyiasat menunjukkan kuasa mereka dikekang,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.
 
“Setiap kes kematian dalam tahanan polis perlu disiasat, sama ada ia adalah EAIC atau IPCMC atau badan awam,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Selain itu, pemimpin MIC S. Vell Paari memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini kedua-dua menteri MIC — presiden parti Datuk Seri G. Palanivel yang mengetuai Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam - dilantik sebagai Menteri Kesihatan — akan menyokong penubuhan IPCMC.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berjanji dua hari lepas akan membangkitkan tentang isu IPCMC dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam.

Kumpulan hak asasi manusia Suaram mengatakan baru-baru ini lapan orang telah mati dalam tahanan polis dalam lima bulan tahun ini. Salah seorang daripada mereka N. Dharmendran, mati kerana dipukul berkali-kali, menurut laporan bedah siasat semasa berada dalam reman polis di ibu pejabat kontigen polis Kuala Lumpur, di sini pada 21 Mei.

Suaram juga mengatakan terdapat 218 kes kematian dalam tahanan yang didakwa berlaku di Malaysia dari tahun 2000 hingga bulan ini, dengan rekod menunjukkan sembilan daripada kes tersebut berlaku pada tahun 2012.

Kes terbaru kematian dalam tahanan adalah P. Karuna Nithi, 42 yang ditemui mati di lokap balai polis Tampin, Negeri Sembilan Sabtu lepas.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang telah mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis semenjak 2006.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh suruhanjaya diraja yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah tetapi ditentang oleh polis, seharusnya berdasarkan kepada model Suruhanjaya Bebas Aduan Polis United Kingdom (IPCC), termasuk badan pemantau polis lain di New South Wales dan Queensland di Australia dan Hong Kong.

Tiada ulasan: