SINAR HARIAN
KUCHING - Bekalan tambahan petrol untuk kawasan Belaga dijadual tiba
hari ini bagi menampung keperluan susulan operasi mencari dan menyelamat
mangsa tragedi bot ekspres karam di daerah itu, pada 28 Mei lepas.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata penghantaran
9,600 liter bekalan tambahan itu diluluskan kerajaan Isnin lepas.
"Keseluruhan bekalan tambahan itu dijangka tiba di pekan Belaga hari
ini melalui jalan darat dari bandar Bintulu," katanya kepada Bernama di
sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar hari ini yang
mendakwa Belaga hampir kehabisan bekalan petrol selepas sebahagian besar
bekalannya diguna untuk operasi itu yang memasuki hari ke-10.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad UZir berkata situasi yang dilaporkan oleh
akhbar itu adalah bersifat sementara dan menasihatkan pengguna di pekan
Belaga untuk tidak membuat pembelian panik yang hanya merumitkan
keadaan.
Katanya kelewatan penghantaran bekalan tambahan itu adalah kerana lori
yang mengangkut perlu melalui jalan yang teruk sejauh 180 kilometer dari
bandar Bintulu.
"Saya juga telah diberitahu pengendali syarikat-syarikat ini bahawa
tidak semua lori-lori mereka beroperasi kerana pemandu mereka bercuti
untuk meraikan Gawai Dayak," katanya.
Menurutnya dalam keadaan biasa, Belaga diperuntukkan 80,000 liter
petrol sebulan, namun berikutan operasi mencari dan menyelamat itu
sebahagian daripada kuota untuk bulan Julai digunakan untuk bulan ini.
"Kita akan terus memantau keadaan ini daripada semasa ke semasa untuk
memastikan tidak berlaku keadaan bekalan terputus," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan