HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Jun 2013

Pemimpin, veteran Umno tidak mahu jawatan Presiden, Timbalan dipertandingkan

SINAR HARIAN

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
 
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Ramai pemimpin dan veteran Umno menyokong cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada perhimpunan agung parti itu Oktober ini. 
  
Mereka berkata gandingan mantap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden dan timbalan presiden Umno adalah yang terbaik untuk menjayakan segala program transformasi parti.
  
Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua pemimpin itu perlu dikekalkan kerana kepimpinan mereka masih diperlukan untuk memacu Umno ke hadapan dan memenuhi aspirasi Barisan Nasional (BN).
  
"Kita perlukan kedua-dua mereka untuk mengetuai kita...tiada keperluan untuk jawatan tersebut dipertandingkan," katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Cure & Care 1Malaysia Sungai Besi, di sini hari ini.
  
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian sebagai mengulas cadangan Umno Negeri Sembilan semalam yang menyuarakan pendirian bahawa kedua-dua jawatan itu tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ia bagi mengelakkan berlaku perpecahan dalam parti serta mahu gandingan Najib-Muhyiddin dikekalkan.
  
Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin turut menyokong agar kepimpinan Najib dan Muhyiddin dikekalkan.
  
Beliau melihat cadangan bagi mengekalkan penyandang bagi kedua-dua jawatan itu dalam pemilihan kali ini sebagai langkah yang positif dalam menjayakan misi transformasi parti.
  
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, tindakan itu bukanlah mahu menafikan hak anggota untuk memilih atau menafikan demokrasi sebaliknya menilai bahawa Umno di bawah kepimpinan Najib menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang apabila berjaya menambahkan kerusi Umno pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.
  
"Selain itu juga Umno telah melalui sebuah transformasi drastik dan menjadikan jentera PRU paling kuat dalam sejarah Umno, dan saya percaya kekuatan ini dirasai hingga ke peringkat akar umbi.

"Selain itu juga, Umno di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh empat tahun ini memperlihatkan khidmat yang tidak berbelah-bagi kepada rakyat, pelbagai transformasi telah dilakukan termasuklah, langkah mengiktiraf suara orang muda dapat dilihat apabila presiden dan timbalan presiden Umno membariskan calon muda dalam PRU13," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.
  
Rosnah berkata meskipun Umno tidak pernah menghalang sesiapa menawarkan diri untuk bertanding kerusi tersebut, tetapi pada pendapatnya Najib adalah presiden terbaik untuk kelangsungan Umno.
  
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee turut menyatakan sokongannya kepada perkara tersebut melalui laman blog Umno Bahagian Cheras, sambil mengingatkan ahli Umno lain supaya tidak membiarkan parasit politik terus merosakkan Umno.
  
Beliau turut mendedahkan bahawa adanya percubaan jahat pihak tertentu bertujuan melaga-lagakan hubungan baik Najib dan Muhyiddin yang merupakan regu terbaik dalam menjayakan misi tranformasi negara.
  
"Inilah kerja 'langau' politik, sengaja cetuskan fitnah menjelang perhimpunan agung parti. Jawatan tersebut tidak perlu dipertandingkan, berikan mereka ruang meneruskan kepimpinan cemerlang untuk rakyat," katanya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata Najib dan Muhyiddin mempunyai agenda besar untuk menguatkan kepimpinan dalaman parti selepas PRU13.
  
Katanya, parti memerlukan barisan kepimpinan yang mantap serta bertanggungjawab bagi meneruskan kelangsungan perjuangan Umno dalam membela nasib rakyat di negara ini.
  
Dalam pada itu, Syed Ali mencadangkan hanya jawatan naib presiden dan Majlis Tertinggi (MT) dipertandingkan bagi membuka peluang kepada akar umbi membuat pilihan.
  
"Bagi jawatan naib presiden dan MT Umno, perwakilan mempunyai banyak pilihan dan apa yang penting ialah mencari pemimpin berjiwa rakyat, ikhlas serta tidak memperalatkan parti untuk agenda peribadi," katanya.
  
Tambah beliau, Najib memerlukan barisan yang mampu bersama beliau meneruskan hala tuju parti.

Veteran Umno juga menyokong supaya kedua-dua pemimpin tertinggi parti dikekalkan, selain mencadangkan jawatan naib presiden juga tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akhir tahun ini.
  
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata Veteran Umno tidak mahu pertandingan tiga jawatan utama pucuk pimpinan Umno menjadi punca perpecahan dalam kepimpinan parti.
  
"Pasukan yang ada sekarang (presiden, timbalan dan naib presiden Umno) sewajarnya diberi mandat baharu sebagai usaha memantapkan kepimpinan Umno," katanya dalam kenyataan.
  
Mustapha berkata cadangan itu bagi membolehkan pucuk pimpinan Umno menumpukan kepada penstrukturan semula kawasan baharu yang akan melibatkan penubuhan Bahagian dan ketua penaja Bahagian yang baharu.
  
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan sekiranya diluluskan oleh Parlimen maka Umno akan menyusun semula struktur bahagian," katanya.
  
Pada 23 Mei lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang ditangguhkan sejak dua tahun lepas.

Di MELAKA, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pendirian rasmi Badan Perhubungan Umno negeri Kedah berkaitan cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan akan diputuskan pada mesyuaratnya 16 Jun depan.
  
Beliau berkata berdasarkan senario pada masa ini, Umno perlu diperkukuhkan dan tidak seharusnya digoncang dengan perebutan jawatan.
  
"Saya setuju kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan lebih-lebih lagi dengan keadaan hari ini, suasana hari ini...kita tidak perlu goncangkan Umno," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pra-pelancaran sambutan Hari Harta Intelek Negara 2013 di sini hari ini.
  
Ahmad Bashah, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berharap kesemua 15 ketua bahagian Umno di Kedah bersetuju agar kedua-dua jawatan tertinggi berkenaan dikekalkan seperti sedia ada. - Bernama

Tiada ulasan: