Oleh Mohd Arif Juhani
MELAKA : Kurang 100 hari Datuk Idris Haron mentadbir Melaka, beliau sudah menunjukkan taringnya sebagai Ketua Menteri berikutan penutupan kawasan pasar malam Jonker Walk yang menjadi destinasi pelancongan negeri.
Pengerusi KEADILAN Negeri, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penutupan kawasan tersebut tanpa alasan kukuh menimbulkan persepsi negatif rakyat dan menggambarkan politik dendam kerajaan negeri yang ditadbir Umno BN itu.
“Alasan beliau berhubung penutupan itu tidak kukuh dan lebih cenderung ditafsirkan sebagai satu hukuman terhadap pengundi Cina kerana memberikan undi yang besar kepada calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu.
“Kezaliman ini juga membuktikan Umno BN tidak demokratik dan hanya meneruskan legasi politik dendam yang diwarisi dari Ketua Menteri terdahulu,” ujar Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu kepada Keadilan Daily.
Isu ini timbul susulan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang, Chin Choong Seong bahawa penutupan pasar berkenaan oleh kerajaan negeri merupakan ‘pembalasan’ kepada pengundi Cina yang telah menyokong Pakatan Rakyat pada PRU 13 lalu.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Katil itu, tindakan sama turut dilakukan terhadap Bazar Ramadhan dan Syawal Peringgit di Taman Cempaka dalam Parlimennya.
“Sebelum ini tender untuk peniaga di bazar itu sudah dibuka tetapi sebelum tarikh tamat mendapatkan tender iaitu pada 10 Jun lalu, peniaga dimaklumkan bazar berkenaan tidak akan beroperasi untuk Ramadhan nanti.
“Ini penganiayaan kepada peniaga yang tidak pun terbabit dengan politik, apatah lagi kawasan bazar ini juga turut dimasukkan dalam diari pelancongan negeri yang patut dilawati.
“Saya cabar Idris untuk segera memberikan penjelasan terhadap tindakan beliau ini,” kata Shamsul.
Menurutnya, satu himpunan akan diadakan di Jonker Walk Jumaat ini jam 5 petang bagi mendesak Idris menarik balik penutupan kawasan itu.
Dalam perkembangan terbaru, Idris menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri mengeluarkan arahan untuk menghentikan operasi perniagaan di Jonker Walk seperti yang dibangkitkan Adun Kesidang.
Sebaliknya, berliau beralasan bahawa kerajaan negeri hanya memutuskan untuk membuka semula jalan di sekitar kawasan pasar malam tersebut yang sebelum ini ditutup pada waktu malam setiap hujung minggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan