HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Jun 2013

Azmin: PRU 13 curang, tak ada sebab bincang perdamaian

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Pendamaian Nasional yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) pada 5 Mei lalu tidak dapat dilaksanakan jika Umno BN gagal menyelesaikan kepincangan sistem pilihan raya.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Umno BN harus membincangkan langkah-langkah menyelesaikan isu pertikaian proses pilihan raya sebelum bercakap mengenai pendamaian nasional.

“Bagaimana pendamaian nasional ini boleh dilaksanakan kalau kecurangan dan penyelewengan dalam proses pilihan raya tidak dapat ditangani oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Umno BN.

“Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Perdana Menteri bagi memastikan kecurangan dalam proses pilihan raya ini dapat ditangani sebelum kita bicara soal pendamaian nasional,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Azmin juga menegaskan, adalah mustahil untuk melaksanakan pendamaian nasional jika kerajaan Umno BN masih mengamalkan perkauman.

“Sejurus selepas PRU 13, Perdana Menteri juga ada anjurkan pendamaian nasional, satu pandangan yang boleh kita bincang dan bahaskan demi kepentingan rakyat dan juga negara.

“Tetapi dalam tempoh 24 jam kemudian, Perdana Menteri yang sama keluar kenyataan bahawa keputusan pilihan raya itu adalah hasil daripada tsunami Cina,” kata Timbalan Presiden KEADILAN itu.

Utusan Malaysia juga memaparkan sebagai lidah Umno menyatakan ‘apa lagi Cina mahu’.

“Kalau inilah pendirian kerajaan Umno BN, bagaimana mungkin pendamaian nasional ini dapat dilaksanakan,” tegas Azmin lagi, lapor Harakah Daily.

Najib dalam jawapannya bagaimanapun menafikan wujud penyelewengan dalam PRU 13 dan memberitahu beliau belum menerima apa-apa bukti mengenai penipuan tersebut.

Najib juga berkata, pendamaian nasional di kalangan rakyat kononnya dapat dilaksakan jika semua pihak menerima keputusan PRU 13 berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: