Proton tambah pengeluaran Saga SV
Proton Saga SV
 
SINAR HARIAN

PEMBUAT kereta nasional, Proton, mungkin menambah pengeluaran Saga SV daripada 2,000 unit sebulan pada masa ini bagi menampung permintaan tinggi untuk model itu.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Hisham Othman berkata 4,000 unit sudah ditempah susulan pelancaran model baharu itu seminggu lepas.
 
"Kini pengeluaran kami mencukupi untuk memenuhi tempahan yang diterima dan kami akan memastikan pelanggan yang menempah sekarang boleh mendapat kereta masing-masing sebelum Hari Raya.
 
"Sudah agak lama kami tidak menerima sambutan baik seperti ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.
 
Beliau berkata daripada tempahan awal itu, 65 peratus membabitkan modal transmisi automatik CVT, dan selebihnya versi manual.
 
"Menerusi 4,000 unit Saga SV yang ditempah setakat ini dan dengan angka yang semakin meningkat setiap hari, ia memperkukuh kedudukan Proton Saga sebagai pilihan pengguna bagi model asas sedan.
 
"Ia merupakan petanda positif, dan kami yakin ia akan merangsang misi kami untuk menguasai 30 peratus penguasaan pasaran domestik dan seterusnya meningkatkan pendapatan Proton," kata Hisham.
 
Saga SV 1.3 liter Campro IAFM dilancarkan pada 15 Jun dengan harga mulai RM33,438.
 
Ia dilengkapi pelbagai ciri termasuk roda keluli 13 inci, 1 radio DIN dengan pemain CD, stereng kuasa, kawalan cermin sisi manual serta dua beg udara.
 
Ditawarkan dalam enam warna - solid white, elegant brown, tranquility black, genetic silver, fire red dan blue rock - Saga SV didatangkan dengan jaminan kilang tiga tahun atau 100,000 km (yang mana dahulu). - Bernama