HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Jun 2013

Wacana: Apa lagi PR mahu?


Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang
Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang 
 
KUALA SELANGOR - "Apa lagi PR mahu?," demikian ujar bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang pada Wacana Sinar Siri ke-21 yang berjudul Media Arus Perdana: Apa nasib Pakatan Rakyat?

Menurutnya, PR telah mendapat liputan meluas di media sosial termasuk Facebook, Twitter, blog dan sebagainya yang menjadi medium utama untuk menyebarkan maklumat.

Beliau berkata, media sosial memiliki ruang yang luas dan jumlah pengikut lebih ramai.

Platform tersebut katanya turut memberi keuntungan kepada PR berbanding penggunaan media arus perdana.

"Tidak perlu gusar dengan media arus perdana. Jika media arus perdana tidak memberikan ruang atau peluang sewajarnya kepada PR, ia bukan perkara yang patut dibimbangkan.

"Ia tidak memberikan apa-apa kerugian kepada PR, melainkan jika media itu berat sebelah barulah PR yang akan bermasalah. Media sosial tidak melibatkan pengedaran dan sokongan, jadi mereka sendiri akan tutup," katanya.

Tambahnya, media alternatif memilih untuk melaporkan berita pembangkang kerana nilai beritanya yang tinggi berbanding kerajaan BN sekaligus membentuk persepsi rakyat bahawa portal berita tersebut menyebelahi PR.

Sementara itu, Azman berkata, penyebaran maklumat yang dilaporkan portal berita tidak semestinya tepat berbanding akhbar.

"Mereka (media) akan ada persepsi PR ada nilai berita yang lebih tinggi sehinggakan rakyat menyatakan apa yang disiarkan portal berita alternatif menjadi sahih manakala media arus perdana tidak sahih.

"Media ini juga bukannya tidak melakukan kesilapan," katanya lagi.
Dalam pada itu, wacana tersebut turut menampilkan Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Program kali ini dikendalikan oleh Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan dan mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan De Palma Hotel Kuala Selangor.

Tiada ulasan: