Ringgit berkemungkinan susut berbanding dolar AS minggu depan kerana mata wang Amerika itu dijangka mengukuh selanjutnya berikutan prospek yang lebih cerah bagi ekonomi negara itu, kata peniaga.

Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke, memberikan gambaran yang meyakinkan tentang ekonomi negara itu dan membayangkan bahawa AS mungkin mempertimbangkan untuk memperlahankan langkah-langkah rangsangannya.

Ini menyebabkan penjualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti global dan mendorong pengaliran keluar modal dari pasaran-pasaran sedang berkembang.

"Ringgit mungkin turun selanjutnya ke paras di bawah 3.30 berbanding dolar AS minggu depan, berdasarkan prestasi ekonomi negara itu," kata seorang peniaga.

Eksport Malaysia merosot 3.3 peratus pada April berbanding bulan yang sama setahun lalu, ekoran penurunan jumlah eksport ke negara rakan dagangan utama.

Dalam minggu ini, ringgit berada dalam arah aliran menyusut berbanding mata wang utama, apabila pelabur-pelabur menjual mata wang tempatan, untuk membeli dolar AS.

Minggu ini ringgit turun berbanding dolar AS kepada 3.2020/2050 daripada 3.1130/1160 Jumaat lepas.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.5139/5165 daripada 2.4840/4884 Jumaat lepas tetapi naik berbanding Yen kepada 3.2724/2768 daripada 3.2762/2797 sebelumnya.

Unit tempatan itu lebih rendah berbanding pound Britain pada 4.9583/9633 daripada 4.8631/8688 dan turun berbanding euro pada 4.2321/2367 daripada 4.1481/1527 Jumaat lalu.- Bernama