HALAMAN SANTAI
Isnin, 28 Oktober 2013
Herald kembali ke Sabah selepas ketua biskop minta bantuan Ahli Parlimen BN
Ketua Biskop Tan Sri Murphy Pakiam (gambar) minta campur tangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah meskipun timbul persoalan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menghalang penerbitan Herald terbaru di Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau berkata melalui kiriman Facebook hari ini beliau telah berurusan dengan KDN mewakili Gereja Katolik bagi mendapat kebenaran pengedaran 2,000 naskhah Herald di Sabah.
Wilfred yang juga merupakan timbalan presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) berkata Ketua Biskop Kuala Lumpur telah meminta bantuannya malam semalam.
"Saya cuba menghubungi Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk bertanya 2,000 naskhah yang disimpan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sama ada boleh diedarkan.
"Saya diminta menghubungi sendiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi namun tidak berjaya kerana Ahmad Zahid kini berada di Jakarta," katanya.
Wilfred turut menghantar pesanan ringkas kepada Ahmad Zahid bagi meminta pengedaran 2,000 naskhah Herald tersebut.
Katanya, petang ini Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Mohammad memberitahu Wilfred bahawa kelulusan diberikan untuk 2,000 naskhah itu diedarkan.
Beberapa penganut Kristian di Malaysia Timur mengucapkan terima kasih, bersyukur dan tahniah kepada Wilfred atas bantuannya.
Ramai yang bersyukur kerana mempunyai wakil rakyat yang mampu mengendalikan masalah ini.
Ketegangan di antara gereja Katolik dan BN bermula apabila Putrajaya menghalang pengedaran Herald di Sabah pada petang Khamis.
Menurut Editor Herald Father Lawrence Andrew, KDN telah memaklumkan syarikat penghantaran bahawa naskhah itu tidak boleh diedarkan.
Menurut prosedur, KDN memeriksa salinan akhbar mingguan Kristian itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Namun kali ini syarikat penghantaran diberitahu oleh KDN bahawa naskhah itu tidak boleh diedarkan.
Berhubung pelepasan 2,000 naskhah Herald, Andrew mahu penjelasan KDN.
“Kami ingin tahu mengapa mereka menghalangnya,” katanya.
Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing berkata keputusan KDN dibuat tergesa-gesa tanpa berbincang dengan pemimpin politik.
"Mereka membuat keputusan sendiri. Pemimpin setempat mesti diberitahu terlebih dahulu sebelum tindakan diambil yang dapat memberi kesan kepada sosio politik setempat," katanya yang mengulas pemimpin setempat yang akan berdepan kritikan daripada orang ramai.
"Kami yang dicari, bukannya pegawai kerajaan," kata menteri Kabinet Kristian di Sarawak itu yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan