HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Oktober 2013

Pilihan Raya Kecil: Jangan Sampai Terlupa Sedekahkan Al Fatihah Untuk Roh Ustaz Azizan...

Oleh Shabudin Husin


Berbanding banyak pilihanraya kecil sebelum ini, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau ini agak pelik dan sedikit luar biasa. Dalam pilihanraya kecil ini, nama Allahyarham Ustaz Azizan Razak, bekas ADUN kawasan itu selama lima penggal dan juga bekas Menteri Menteri Besar Kedah, begitu dijadikan sandaran untuk mendapatkan undi.

Jika hanya PAS yang berbuat demikian, tidaklah terasa pelik dan luar biasa kerana Ustaz Azizan memang pemimpin parti itu, tetapi UMNO dan BN juga cuba "tumpang sekaki" mahu menggunakan nama bekas MB Kedah itu.

Sebagaimana yang diakui sendiri oleh MB Kedah, Mukhriz Mahathir bahawa beliau bersama calon BN, Ahmad Suhaimi Lazim telah mengunjungi balu Allahyarham untuk memohon restu sebelum namanya diumumkan kepada orangramai pada 21 Oktober lalu. Tidak diragui bahawa barangkali ini pertama kali dalam sejarah UMNO dan BN, mereka memohon restu daripada keluarga pemimpin parti yang bakal dilawan dan dianggap musuhnya dalam pilihanraya.

Meskipun kunjungan itu tiada gambar yang disebarluaskan tetapi Mukhriz mendedahkannya sebagai membidas tindakan Pas membawa calonnya mengunjungi ayah Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga Ketua UMNO Jerai yang memang ahli Pas kawasan itu dan kemudian dilihat sama-sama berdoa agar kemenangan pada 4 Oktober ini memihak kepada Pas.

Blog ini sebelum ini mendedahkan bahawa faktor keluarga Ustaz Azizan akan menjadi rebutan antara PAS dan BN dalam pilihanraya kecil pada 4 Oktober ini memandangkan kaum keluarga, saudara-mara dan mereka yang ada pertalian darah dengannya merupakan kelompok pengundi yang agak besar di DUN Sungai Limau.

Antara faktor kejayaan PAS dan Ustaz Azizan berjaya memenangi DUN itu sejak 1995 tanpa tergugat ialah kerana hubungan baik ustaz Azizan dengan semua yang mempunyai pertalian darah dengannya, manakala UMNO dan BN pula gagal menembusinya.

Walaupun diakui faktor kekeluargaan Azizan sebagai asas penting untuk memenangi pilihanraya tetapi tindakan UMNO memohon restu untuk calon BN tetap dianggap melampaui kebiasaan sedangkan ketika bekas MB itu terlantar di hospital sehinggalah saat pengkebumiannya, sudah begitu ramai pemimpin UMNO dan BN yang menunjukkan simpati dan keprihatinan terhadap keluarga beliau.

Dalam soal calon pula, walaupun calon BN tiada kaitan darah atau keluarga dengan Ustaz Azizan tetapi beberapa blog telah memainkan isu kononnya calon Pas, Mohd Azam Samad bukan saja tidak mempunyai pertalian darah dengan Ustaz Azizan, bahkan dikatakan mempunyai hubungan keluarga yang rapat dengan Ustaz Pahrolrazi, pemimpin Pas Kedah yang mempunyai hubungan tidak baik dengan Ustaz Azizan.

Agak lama cerita itu beredar di alam maya, ditokok tambah pula kononnya pemilihan calon Pas ini sebagai bukti bahawa Pas tidak begitu menghormati serta menghargai bekas pemimpin mereka sendiri.

Semakin meluasnya cerita itu bertebaran sehingga akhirnya memaksa balu Ustaz Azizan, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah tampil memberi penjelasan bahawa calon Pas, Mohd Azam memang mempunyai pertalian keluarga bau-bau bacang dengan Ustaz Azizan walaupun dalam masa yang sama beliau juga mempunyai hubungan keluarga dua sepupu dengan Ustaz Pahrolrazi.

Terlihat si sini bahawa sekali lagi faktor hubungan dengan Ustaz Azizan cuba dijadikan isu dan dimanipulasi untuk memenangi pilihanraya ini.

Hari ini pula, berikutan tindakan kerajaan memansuhkan subsidi gula yang dikaitkan dengan usaha untuk mengekang penyakit kencing manis di kalangan rakyat sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2014 semalam, UMNO sekali lagi cuba mengaitkan isu itu dengan Ustaz Azizan.

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, penghapusan subsidi gula bertujuan memastikan kesihatan rakyat terjaga dan tidak menerima nasib seperti Ustaz Azizan yang terpaksa dipotong kakinya kerana mengidap kencing manis.

Walaupun terlihat UMNO dan Muhyiddin cuba menunjuk rasa simpati kepada nasib yang dialami oleh Ustaz Azizan, sambil mengharapkan ada lelehan undi simpati dengan berbuat demikian, namun nampaknya tindakan Muhyiddin itu seperti tidak kena tempatnya. Keghairahan mahu menumpang kekuatan nama Ustaz Azizan di Sungai Limau akhirnya membuatkan Mahfuz Omar naik berang dan menganggap tindakan Muhyiddin itu tidak beretika dalam berkempen.

Menjelang kempen yang makin hangat selepas ini, mungkin lebih banyak nama Ustaz Azizan disebut dan dipergunakan. Bagi PAS, memang tiada yang janggalnya apabila mereka sering merujuk nama Ustaz Azizan sepanjang kempen ini tetapi melihat kepada kecenderungan yang berlaku sejak awal lagi, UMNO dan BN juga seperti mengharapkan dengan menjaja dan memuji nama baik Ustaz Azizan ini untuk mendapat kelebihan dan merampas DUN Sungai Limau.

Memanglah tiada salahnya berbuat demikian, asalkan tidak menyentuh perkara-perkara yang buruk dan boleh menyinggung perasaan keluarganya. Sebut dan ingatlah kebaikan orang yang sudah meninggal dunia, lebih-lebih lagi seorang pemimpin yang baik dan sederhana seperti Ustaz Azizan ini. Dan kebaikan yang ditinggalkannya menepati peribahasa, harimau mati meninggalkan belang, menusia mati meninggalkan nama.

Cumanya, dalam keghairahan menyebut dan mempergunakan nama Ustaz Azizan ini, baik oleh UMNO mahupun Pas, janganlah pula sampai terlupa menyedekahkan Al Fatihah untuk kesejahteraan rohnya alam baqa itu. Sekadar memuji dan menyanjung namanya tetapi tidak disertai dengan sedekah Al Fatihah atau doa pendek sekurang-kurangnya, tiadalah apa-apa makna segala kata-kata pujian yang diluahkan itu

Tiada ulasan: