Menjelang pilihan raya kecil DUN Sungai Limau 4 November ini, MCA meminta pengundi di DUN itu membuat penilaian sebaik-sebaiknya terhadap janji yang diberikan oleh Pakatan Rakyat.

Ini kerana, kata MP MCA Labis, Datuk Chua Tee Yong, tawaran janji utama dalam manifesto Pakatan sebelum pilihan raya umum lalu, tidak dinyatakan kos pelaksanaannya dalam bajet alternatif yang dibentangkan.

Antara janji itu ialah pemansuhan tol, mengurangkan harga kereta, menurunkan harga minyak, memberi RM1,000 kepada warga emas, serta menaikan royalti petrol kepada Sabah dan Sarawak daripada lima kepada 20 peratus.

"Tapi apabila kita merujuk kepada Bajet Alternatif, ini semua langsung tidak ada. Ini menunjukkan kerajaan Pakatan hanya ingin mendapat undi, dan tidak mempunyai niat untuk menepati janji-janji mereka," dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

"Ini jelas ketara dalam manifesto mereka. Tetapi kenapa dalam bajet alternatif, mereka tidak menyenaraikan kos untuk melaksanakan janji-janji ini," katanya sambil berharap rakyat dapat melihatnya secara jelas apa yang didakwanya taktik Pakatan mendapat undi.

Chua yang juga ketua biro profesional muda MCA berkata, dalam kempen pilihan raya kecil DUN itu, mereka tidak Pakatan menyentuh mengenai janji mereka itu.

"Saya membangkitkan perkara ini untuk memastikan rakyat di Sungai Limau, apa yang dijanjikan Pakatan Rakyat perlu dinilai. Untuk menunjukkan apa yang dijanjikan mereka perlu membuat pertimbangan semula," katanya.