Sebanyak 26 rumah yang didiami 100 penduduk di Kampung Batu Papan, Kampung Kundur dan Kampung Pulai di sini ditenggelami banjir awal pagi tadi berikutan hujan lebat sejak semalam.
Namun tiada penduduk yang dipindahkan.
Hanya beberapa keluarga yang berpindah ke rumah saudara-mara mereka dan pulang semula sekitar 10 pagi selepas banjir surut.
Tinjauan Bernama mendapati sebuah jambatan gantung yang merentangi Sungai Galas turut runtuh dihanyutkan arus sungai.
Manan Mat Saman, 51, berkata beliau menyedari mengenai banjir apabila air sungai di belakang rumahnya melimpahi ke tebing dan memasuki rumahnya kira-kira 4 pagi.
Beliau dan isterinya serta lima orang anak mereka terpaksa menumpang di rumah abangnya yang terletak tidak jauh dari situ.
Rohani Ibrahim, 47, berkata banyak peralatan rumahnya gagal diselamatkan berikutan air naik dengan cepat.
"Saya menyedari kejadian banjir kira-kira 6 pagi ketika hendak ke dapur untuk minum air dan ternampak air memenuhi kawasan dapur sebelum saya mengejutkan suami dan anak saya," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan