HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Oktober 2013

Berbillion Ketirisan Tak Diatasi, Rompak Pula Rakyat Dengan GST!


Pakatan Rakyat akan bantah GST besar-besaran

KELAB GREENBOC



Pakatan Rakyat (PR) ternyata tidak senang dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kini sedang merancang untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata mesyuarat segera akan diadakan membabitkan semua parti komponen PR iaitu PAS, PKR dan DAP bagi membincangkan isu GST dan tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan demonstrasi membantah pelaksanaan itu.

“Saya bersetuju untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran. Kita mungkin akan mengadakan demonstrasi.

“Seperti yang dijangka GST akan dikenakan untuk tampung belanja kerajaan. Sepatutnya kerajaan mulakan dengan perangi ketirisan seperti dalam Laporan Audit Negara 2012 kerana pembaziran berlaku di sana sini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berkata PR akan memperjuangkan suara 52 peratus rakyat Malaysia yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Majlis Presiden PR akan membincangkan pendekatan bantahan terhadap GST.

“Selain berhujah di Dewan Rakyat, pendekatan lain dalam membantah pelaksanaan itu akan diadakan termasuk mengadakan perhimpunan aman atau cara lain yang mampu untuk mencapai objektif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, PR akan memberikan penerangan kepada rakyat terutama golongan bawahan mengenai impak pelaksanaan GST dalam kehidupan mereka.

“Jika ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) ada sikap mementingkan nasib golongan bawahan, mereka pasti akan menolak GST,” katanya.

Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke, berkata PR membantah GST dan gabungan itu akan melakukan bantahan bagi memperjuangkan nasib rakyat.

“DAP bersama PR akan bantah GST, kita akan putuskan bersama,” katanya.

Selepas beberapa tahun spekulasi, kerajaan akhirnya memperkenalkan GST yang akan bermula secara rasmi pada April 2015, dalam pembentangan Bajet 2014 oleh Najib yang juga menteri kewangan petang tadi.

Najib berkata, GST akan menggantikan dua jenis cukai iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dan ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal di paras dua peratus. – TMI


Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan berbilion wang rakyat


Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat. “Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan. “Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin. “Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai. “Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui. Katanya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya. “Dia (Kerajaan) bukan sahaja mengenakan GST pada 2015, tapi telah hapuskan subsidi gula 30 peratus, saya tak tahu apakah jumlah ini akan jimat tetapi ini hanya menambahkan beban rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu. -tvselangor

GST menyebabkan rakyat makin susah, kata NGO dan peguam


PETALING JAYA: Rakyat golongan bawahan semakin terbeban ekoran keputusan kerajaan melaksanakan sukai perkhidmatan kerajaan (GST) sebanyak enam peratus pada bulan April tahun 2015.

Harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi semakin mahal, harga makanan akan meningkat secara berperingkat mulai sekarang walaupun kerajaan mengumumkan ia akan dilaksanakan 17 bulan lagi.

“Dengan itu kehidupan rakyat menjadi lebih susah, kerajaan berniaga dengan rakyat,” kata Fariz Musa, Ketua Kordinator Jingga 13, sebuah NGO tempatan.

Bagaimanapun, dalam Bajet 204 yang dibentangkan di parlimen petang tadi, GST bukan kepada perkhidmatan tertentu seperti pengangkutan awam dan barangan makanan asas.

Peguam dari Temerloh, Nizam Hamid berkata, masa tidak sesuai untuk melaksanakan GST kerana masih ramai rakyat yang berpendapat rendah, serta masih ada yang miskin tegar.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh membandingkan dengan negara Singapura yang melaksanakan GST kerana rakyat negara itu mempunyai pendapatan yang tinggi.

Katanya, di negara itu tidak ada rakyat miskin tegar, pendidikan dan perkhidmatan berkelas dunia.

“Tetapi berapa ramai rakyat Malaysia yang masih hidup di bawah tahap kemiskinan tegar,” tanyanya.

Nizam berkata, kini syarikat peguam diarahkan mengenaikan cukai enam peratus kepada pelanggan untuk dibayar kepada kastam.

Sebelum ini, katanya, cukai sedemikian hanya dikenakan kepada firma guaman yang besar.

Nizam juga mendakwa pengenalan GST itu adalah cara mudah kerajaan untuk mendapatkan wang rakyat.

“Saya percaya wang itu adalah untuk menampung kos pengurusan sebanyak 82% berbanding 12% untuk pembangunan dalam bajet tersebut,” katanya lagi.

Seorang pekerja syarikat pengangkutan, Afandi Anuar berkata, golongan berpendapatan rendah sepertinya akan merasakan keperitan hidup berganda apabila GST dilaksanakan serta subsidi gula dikurangkan 36 sen.

“Sudah tentu harga makanan akan melambung, harga minuman akan naik. Teh o yang sekarang RM1 segelas barangkali mencapat RM1.50 sen.

“Bonus setengah bulan gaji secata otomatik menyebabkan kenaikan harga makanan, ini yang berlaku setiap tahun,” katanya yang berusia 56 tahun.
-FMT

Tiada ulasan: