Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mempertahankan pembayaran gaji yang tinggi kepada para pegawai agensi kerajaan dengan alasan, langkah itu perlu bagi menarik minat bakat dari kalangan pegawai tinggi.
Khairy dalam tulisan di Twitter berkata, pihak yang berhujah sebaliknya tidak berpandangan jauh.
“Jelas sekali anda tidak bersetuju dengan (usaha) membawa masuk individu penting yang berpengalaman dalam sektor swasta ke dalam perkhidmatan awam,” katanya menjawab tulisan MP Serdang, Ong Kian Ming.
Tambahnya, secara realistik kerajaan perlu membayar untuk mendapatkan bakat yang terbaik.
Malah, ramai di antaranya yang menerima gaji lebih rendah apabila menyertai perkhidmatan awam, katanya lagi.
Beliau memberi contoh bekas CEO Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang kini menjadi menteri di jabatan perdana menteri.
Khairy berkata CEO TalentCorp Johan Merican juga mengambil langkah sama apabila menyertai Jabatan Perbendaharaan sebagai seorang pegawai.
Ong bagaimanapun membangkitkan bahawa Johan tentunya mendapat peningkatan gaji apabila dilantik untuk mengetuai TalentCorp, berbanding pendapatan ketika menjadi pembantu khas kepada seorang menteri.
MP DAP itu semalam mempersoalkan pembentukan agensi kerajaan didakwa berlebihan, dengan bayaran gaji yang besar.
Beliau memberi contoh, CEO Agensi Inovasi Malaysia yang menerima gaji hampir tiga kali ganda berbanding penjawat awam paling kanan – ketua setiausaha negara.
Beliau yang memetik satu jawapan bertulis di Parlimen berkata, CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pula dibayar RM622,000 setahun, termasuk bonus dan elaun.
Mengulas tulisan Khairy, Ong seterusnya berkata agensi berkenaan harus menunjukkan alasan untuk memberi bayaran gaji sebesar itu.
Katanya, individu berkenaan seharusnya hanya mendapat gaji setara dengan penjawat awam lain memandangkan ia adalah khidmat untuk rakyat.
Tambahnya, bayaran gaji yang tinggi kepada pegawai agensi kerajaan juga melibatkan isu penyumberan luar fungsi kerajaan.
Beliau seterusnya memberi contoh skandal firma Amerika Syarikat, Enron Corporation yang melibatkan CEO dan pengerusi syarikat tersebut, Kenneth Lay.
“Lihat bayaran kepada Kenneth Lay dari Enron sebelum ia gulung tikar.
"Pengerusi SYABAS mendapat ganjaran yang bagus, tetapi ia tidak mewakili mutu (perkhidmatan),” katanya yang menambah, syarikat itu masih juga mengharapkan pakej penyelamatan oleh kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan