HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Oktober 2013

Inflasi akan terus meningkat pada 2015 dengan pelaksanaan GST




Oleh Azmin Ali


Bajet 2014 bersifat 'Rich Man's Budget, Poor To Get Poorer'. Langkah kerajaan menarik balik subsidi gula untuk rakyat berjumlah RM551.25 juta  dan subsidi minyak masak untuk rakyat bernilai RM505.4 juta akan terus membebankan rakyat.

Kerajaan wajar memberikan perhatian di atas tuntutan Pakatan Rakyat supaya memecahkan monopoli industri gula.

Untuk mencapai matlamat sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, belanjawan negara perlu menekan prinsip 'fiscal discipline' dan menggariskan strategi pembangunan yang peduli rakyat.

Belanjawan negara bukan sekadar bertujuan untuk meningkatkan hasil negara tetapi menguruskan perbelanjaan secara berhemah dan efisien dan mengambil langkah yang pro aktif untuk membanteras ketirisan dan amalan rasuah.

Pengagihan kekayaan dan kesenjangan ekonomi

Jomo K.S dalam karya terbarunya berjudul 'Malaysia @50 : Economic Development, Distribution and Disparities' menegaskan bahawa kesenjangan pendapatan dan ekonomi telah sekian lama mendominasi perbincangan ekonomi, sosial dan politik di Malaysia. Hal ini bukan sahaja tidak selesai malah isu kesenjangan ekonomi, jurang pendapatan antara golongan kaya miskin telah menjadi perdebatan universal.

Situasi ini adalah sama seperti yang diungkap oleh Nobel Laureate, Paul Krugman dalam satu rencana bertajuk Rich Man's Recovery dalam New York Times dalam satu pemerhatian yang dijalankan di Harvard Business School. Krugman melihat kesenjangan ekonomi yang melampau dalam komuniti pelajar telah menggamit perhatian dunia dan amat membimbangkan.

Kata Krugman : "This society claims to reward the best and brightest regardless of family background but in reality the children of the wealthy benefit from opportunities and connections unavailable to children of the middle and working classes."

Menurut Krugman lagi, kajian ini membuktikan wujudnya kesenjangan pendapatan yang ketara di antara golongan maha kaya dan mereka yang berpendapatan rendah. Golongan maha kaya ini menikmati kekayaan di atas kesengsaraan majoriti yang lain. "If the rich are so much richer than the rest that they live in a different social and material universe, that fact in itself makes nonsense of any notion of equal opportunity."

Bajet 2014 Barisan Nasional

Bajet 2014 memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion. Daripada jumlah ini, RM217.7 bilion adalah anggaran untuk belanja mengurus manakala RM46.5 bilion adalah bagi belanja pembangunan.

Bajet 2014 masih kekal sebagai bajet defisit. Kerajaan telah meneruskan amalan bajet defisit selama 16 tahun berturut - turut semenjak krisis kewangan Asia. Ini merupakan kesinambungan daripada amalan dan perlaksanaan dasar fiskal semenjak daripada merdeka lagi.

Dalam tempoh 56 tahun negara mencapai kemerdekaan, Malaysia mengalami 'fiscal deficit' selama 49 tahun dan hanya 7 tahun menikmati 'budget surplus'. Malaysia menikmati 'budget surplus' selama 5 tahun berturut - turut mulai 1993 iaitu ketika YB Permatang Pauh menerajui Kementerian Kewangan.

Kerajaan pernah menjanjikan bahawa belanjawan negara akan kembali kepada belanjawan berimbang pada tahun 2005 ; sebaliknya hutang negara terus membengkak secara berganda di antara tahun 2007 dan 2012 kepada RM421 bilion. Manakala pendapatan pada kadar 31% daripada RM140 bilion kepada RM207 bilion. Hutang negara seperti yang dilaporkan oleh Maybank Berhad bagi tahun 2013 dijangka meningkat kepada RM541.3 bilion dan akan terus meningkat kepada RM578.4 bilion iaitu 54.7% daripada jumlah KDNK.

Disiplin fiskal yang lemah menyebabkan hutang negara terus membengkak. Pada tahun 1998, hutang negara adalah pada tahap 36% daripada KDNK; meningkat kepada 53% daripada KDNK dalam tahun 2012 dan dijangka meningkat kepada 54.7% daripada KDNK dalam tahun 2014. Ini adalah rekod yang tertinggi di Asia Tenggara.

Ia juga menggamit perhatian rakyat Malaysia kepada persoalan debt -to-revenue ratio. Dalam tahun 2012, Fitch Rating Agency melaporkan bahawa kadar debt -to-revenue di Malaysia mencatatkan 246%, semakin hampir kepada negara Itali yang bergelut dengan masalah hutang pada kadar 261%.

Malaysia di bawah pengurusan Umno hari ini sedang mengalami penyakit 'fiscal fatigue' atau lelah kewangan. Negara tidak mempunyai 'fiscal space' untuk berbelanja kerana hutang yang terlalu besar dan ia tidak mempunyai 'political will' untuk memerangi rasuah dan menangani masalah ketirisan dan salahguna kuasa.

GST membebankan rakyat

GST adalah satu sistem percukaian yang telus, efisien untuk dilaksanakan bagi jangkamasa yang akan datang. Persoalannya, apakah Malaysia sudah bersedia? Saya mengambil maklum bahawa hanya 10% daripada 'working population' di Malaysia yang membayar cukai. Saya juga bersetuju supaya negara perlu mengurangkan kebergantungan di atas pendapatan daripada sumber petroleum dan gas yang hari ini menyumbang di antara 35% - 40% daripada hasil negara.

Saya juga menyedari bahawa tax based kita adalah agak 'narrow'. Maka satu reformasi sistem percukaian perlu digubal segera supaya ianya bersifat 'broad based' dan komprehensif bagi menggantikan Sales and Services Tax (SST) yang menyumbang 7% kepada pendapatan negara.

Namun saya juga mendesak kerajaan supaya mengamalkan fiscal discipline yang ketat dan memotong Belanja Mengurus di setiap kementerian.

Di negara maju, falsafah perlaksanaan GST bukanlah untuk mencipta hasil baru atau meningkatkan pendapatan bagi negara tetapi untuk memastikan satu sistem percukaian yang saksama dan menyeluruh. GST juga menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros dalam berbelanja. Pendek kata, GST bertujuan to redistribute or diversify, and not increase the tax burden.

Kejayaan perlaksanaan GST di negara-negara maju adalah infrastruktur sistem percukaian yang kukuh di mana kadar cukai pendapatan dan kadar GST bergerak dalam arah bertentangan di mana apabila GST diperkenalkan pada satu kadar, kadar cukai pendapatan diturunkan untuk offfset bebanan GST.

Bajet 2014 mencadangkan bebanan GST dikurangkan atau offset dengan pemberian BR1M dan penurunan kadar minima ke atas cukai pendapatan.

Malaysia masih belum bersedia untuk perlaksanaan GST. Ini kerana lebih 40% rakyat mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan dan 80% daripadanya adalah orang Melayu dan Bumiputera. Sudah pasti, GST akan menekan golongan dalam kelompok berpendapatan rendah dan rakyat miskin.

Apabila membicarakan soal kemiskinan, saya tidak merujuk kepada golongan miskin tegar sahaja tetapi yang perlu diberikan perhatian adalah golongan yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi termasuk 'young workers, newly married couples' dan juga mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai.

FOMCA melaporkan sejumlah 47% pekerja muda di negara ini dibebankan dengan jumlah hutang yang begitu serius. Sementara itu, Kajian Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna menyatakan lebih 30% daripada gaji golongan muda digunakan untuk membayar hutang sekaligus mengesahkan beban dan kesempitan hidup generasi muda dan rakyat secara keseluruhannya.

Selain itu, perlaksanaan GST akan juga meningkatkan kadar inflasi yang akan mencengkam kehidupan rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Hal ini bertambah serius apabila Bajet 2014 memotong RM7.29 bilion jumlah subsidi kepada rakyat. Langkah pengurangan subsidi ini akan menyebabkan kos produktiviti meningkat dan kuasa membeli atau 'purchasing power' rakyat semakin lemah. Kitaran ekonomi ini juga akan mengakibatkan kadar inflasi terus meningkat berkadaran dengan langkah perlaksanaan GST pada April 2015.

Persoalannya adakah kerajaan telah meneliti impak sosio ekonomi rakyat dengan perlaksanaan GST dan pemotongan subsidi rakyat? Penganalisa ekonomi mengunjurkan tahap inflasi akan meningkat sebanyak 2% apabila GST dilaksanakan. Jika perlaksanaan GST ini konsisten dengan langkah pemotongan subsidi yang diumumkan, maka dijangkakan kadar inflasi akan terus meningkat sehingga kadar 5% pada tahun 2015.

*  Mohamed Azmin Ali adalahTimbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), ahli Parlimen Gombak dan ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa.

Tiada ulasan: