HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Oktober 2013

Kerajaan BN abai janji mansuhkan Dasar Kabotaj, kini seksa rakyat dengan GST

lge


KUALA LUMPUR: DAP mengecam tindakan kerajaan yang melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tanpa menyelaraskan harga barangan di Sabah dan Sarawak melalui penghapusan Dasar Kabotaj.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tanpa penyelarasan itu, penduduk di Sabah dan Sarawak tentu akan menerima kesan besar susulan perbezaan berbanding harga di Semenanjung.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, pelbagai janji ditabur BN kepada rakyat Sabah antaranya mahu laksanakan ’1Malaysia 1Harga’ iaitu memansuhkan Dasar Kabotaj.

“Dasar Kabotaj ini menyebabkan harga barangan di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

“Tapi sehingga kini kita lihat dalam Bajet 2014 baru-baru ini tidak ada sebarang pengumuman untuk memansuhkannya. Sudah lima bulan selepas PRU-13, mengapa dalam Bajet 2014 tidak disebut langsung mengenai janji mereka?,” soalnya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan turut menyatakan bahawa kerajaan juga sehingga kini tidak mempunyai sebarang inisiatif untuk menambah royalti minyak kepada Sabah seperti yang dijanjikan.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepadanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan bahawa royalti minyak tidak dinaikkan daripada lima kepada 20 peratus seperti dijanjikan pada PRU-13 lalu adalah tidak tepat.

Abdul Wahid berkata, satu daripada manifesto BN adalah meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi serta pembangunan sehingga melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas.

Menurut Abdul Wahid lagi, jumlahnya kini telah melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas di Sabah.

“Jawapan yang saya terima mengenai Indeks Keseluruhan Jangka Hayat Sumber Minyak Malaysia. Minyak dan kondensat ialah 27 tahun, Gas Asli 43 tahun dan jumlah rizab adalah 37 tahun secara purata.

“Sekarang mereka pusing dengan mengatakan asalkan perbelanjaan melebihi 20 peratus royalti minyak, sudah cukup. Tapi ia tidak mengambil kira bayaran cukai dan kewangan yang dibuat kerajaan negeri Sabah selain minyak dan gas iaitu termasuk kelapa sawit, balak, ekspot perikanan dan sebagainya.

“Pada saya ini tidak adil kepada Sabah. Bila kita meraikan ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia kita harus menunaikan janji kepada Sabah dan Sarawak, tapi ia tidak berlaku,” kesalnya.

Pada sidang media sama, Ahli Parlimen DAP Sandakan, Stephen Wong menyokong pelarasan harga itu dan menempelak pelaksanaan empat peratus cukai GST yang akan menyaksikan kos sara hidup masyarakat di negeri berkenaan.

“GST tidak boleh dikenakan pada April 2015 kerana majoriti rakyat di Sabah berpendapatan 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada Semenanjung.

“Rakyat Sabah mempunyai pendapatan yang rendah dan harga barangan pula mahal daripada Semenanjung, ditambah pula dengan Dasar Kabotaj tidak dimansuhkan. GST bukan menyeksa rakyat, malah mengakibatkan mereka menerima ‘triple injury’,” tegasnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: