HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Oktober 2013

Aishah pesan jangan mudah rasa selesa

Muhammad Faeez Azahar,





JERAI: Artis hijrah, Wan Aishah Wan Ariffin mengingatkan  jentera parti agar tidak berasa selesa sebaliknya berusaha bermati-matian untuk mempertahankan kemenangan PAS di Dun Sungai Limau.

Menurutnya, semua jentera jangan mengambil mudah pilihan raya kecil (PRK)  ini dengan bersandarkan keputusan PRU13 lalu.

Kata beliau, jentera parti disemua peringkat perlu mengenal pasti pengundi PAS pada PRU13 lalu dan memujuk mereka agar terus memberikan sokongan kepada PAS disamping memujuk orang Umno untuk berubah.

"Kita jangan alpa, sekarang ini kita 'under attack', kena tingkatkan usaha lebih lagi," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup program mesra rakyat yang diadakan di Markas Induk Unit Peti Undi (UPU) Simpang Tiga, Sungai Limau dekat sini hari ini.

Aishah yang terkenal dengan lagu Janji Manismu berkata, rakyat perlu dijelaskan berkaitan isu-isu semasa terutama tentang kenaikan kos kehidupan seharian seperti harga minyak dan sebagainya.

Kata beliau, masih ada lagi masyarakat yang masih mempercayai kata-kata manis serta alasan BN hingga menyebabkan mereka tidak berasa marah walaupun dihimpit dengan pelbagai kesusahan terutama sebaik sahaja PRU13 lalu.

"Sebelum PRU13, Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Razak) janji tidak akan naikkan harga minyak, tetapi janji manismu Najib hanya tinggal janji.

"Rakyat Sungai Limau perlu menilai semua ini dan jangan beri mereka 'tiket' untuk terus bermaharaja lela dengan mengundi BN," jelasnya lagi.

Aishah turut mempersoalkan apakah yang sudah dilakukan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sepanjang 5 bulan ini.

Beliau mengakui  tidak nampak apa yang dilakukan oleh Mukhriz sebaliknya menggugat dan mencipta masalah seperti isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hingga menyebabkan kakitangannya dizalimi.

Beliau turut menasihati pengundi agar memujuk dan mengajak anak-anak dan ahli keluarga yang boleh mengundi untuk pulang mengundi.

Katanya, usaha ini  penting bagi memastikan kemenangan PAS dikekalkan dan kerja buat Almarhum Tan Sri Azizan Razak dapat diteruskan.

Tiada ulasan: