HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Oktober 2013

Lebih Baik Guna Satelit Dari Kabel Dasar Laut

BULETIN ONLINE
 
 
Hasrat kerajaan untuk meningkatkan akses internet ke luar bandar di Sabah dan Sarawak sebagaimana dicadang Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet 2014 baru-baru ini, memang dialu-alukan.

Namun begitu PAS Sarawak berpandangan, lebih baik menggunakan satelit bagi meningkatkan kemudahan internet tersebut berbanding menggunakan kabel dasar laut.

“Antara perkara yang ingin kita sentuh adalah peruntukan bagi meningkatkan akses Internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut akan dipasang dalam tempoh tiga tahun, melibatkan kos RM850 juta.

“Memang hasrat kerajaan untuk meningkatkan akses internet ke luar bandar di Sabah dan Sarawak memang dialu-alukan tetapi adalah lebih baik kabel di dasar laut digantikan dengan penggunaan satelit,

“walaupun kos agak mahal tapi untuk jangka masa panjang ianya lebih efektif dan kos penyelenggaraan lebih mudah kalau dibandingkan dengan kos penyelenggaraan kabel di dasar laut,”ujar Haji Jofri Jaraeii, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak.

Menurutnya, perkhidmatan Internet Moden biasanya diberikan kepada pengguna melalui satelit geopegun yang boleh menawarkan kelajuan data yang tinggi, dengan satelit baru mencapai kelajuan data hiliran sehingga 15 Mbps.

Beliau turut menyentuh cadangan peruntukan untuk menaik taraf lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah dengan bernilai RM 312 juta.

Katanya, kerajaan bukan hanya menaiktaraf bahkan sepatutnya lapangan terbang Miri sebagai Hub pelancongan antarabangsa bagi zon utara Sarawak.

Beliau berkata, bagi pihak PAS sarawak yang mewakili komunit Mlaysia Timur, secara kesimpulannya bajet 2014 tidak begitu mesra rakyat tetapi lebih kepada membebankan rakyat terutama golongan pendapatan rendah dan sederhana.

“Ini termasuk rakyat yang hidup di luar bandar terutama penduduk di Sabah dan Sarawak yang telah memberi kemenangan yang besar kepada kerajaan BN di peringkat pusat.

“Walaupun kerajaan memberi peruntukan berbilion ringgit untuk infrastruktur dan sebagainya, kita tidak mahu peruntukan tersebut disalahgunakan atau berlaku ketirisan seperti mana laporan Audit Negara baru-baru ini. Banyak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan wang rakyat,”jelasnYa

Tiada ulasan: