BULETIN ONLINE
DUNGUN – Keseronokan sekumpulan remaja berkaraoke di sebuah pusat hiburan yang baru dibuka sejak beberapa bulan lalu bertukar cemas apabila lokasi tersebut diserbu pihak berkuasa, malam kelmarin.
Lebih mendukacitakan, serbuan kira-kira jam 11 malam membabitkan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dungun itu mendapati, lebih 20 pengunjung pusat hiburan berkenaan terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan.
Empat daripadanya pula adalah penuntut perempuan yang sedang menuntut dalam tahun akhir pusat pengajian tinggi berdekatan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, operasi terbabit dilancarkan sebagai salah satu usaha pencegahan jenayah, terutama untuk mengekang pengaruh penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja.
Beliau berkata, pusat hiburan menjadi salah satu sasaran utama pihaknya kerana lokasi berkenaan sering dikunjungi pengunjung terutama belia.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas 28 pengunjung di situ mendapati, 24 daripadanya adalah penuntut IPTA, empat daripadanya perempuan.
“Hasil siasatan mendapati, mereka berkunjung ke pusat hiburan ini untuk berseronok, namun apa yang membimbangkan kita ialah mereka boleh terjebak dengan pelbagai gejala sosial lain yang tidak sesuai dengan tahap umur mereka.
“Malah, lebih membimbangkan jika mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah yang turut boleh menghancurkan masa depan mereka sendiri,” katanya.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan ujian saringan air kencing ke atas pengunjung pusat hiburan yang beroperasi di Sura Gate Dungun milik tauke bukan Melayu itu, hanya seorang positif dadah manakala yang lain dibebaskan setelah pihaknya berpuas hati dengan keterangan diberikan.
Sementara itu, seorang siswi yang turut diperiksa dalam operasi itu berkata, kunjungannya ke pusat karaoke itu hanya untuk melepaskan tekanan setelah bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran.
“Kami baru habis ujian, jadi saya bersama beberapa lagi rakan mengambil keputusan datang ke sini untuk berhibur.
“Dengan bayaran RM10 sahaja, kami dapat menyanyi dan keadaan ini boleh melegakan 'stres' yang kami hadapi,” katanya yang juga penuntut jurusan Kewangan. -SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan