HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2010

TPM: Jangan bawa ideologi ke bilik darjah jika aktif berpolitik

BERNAMA

SEOUL – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah yang dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, supaya tidak membawa ideologi politik mereka ke dalam bilik darjah.

Sambil meminta mereka mematuhi pekeliling berkaitan peraturan pegawai awam, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan bahawa guru berdepan dengan tindakan disiplin jika ada laporan mereka melanggar peraturan ditetapkan.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan membenarkan guru aktif semula dalam politik bagi membolehkan mereka memberi sumbangan kepada masyarakat di luar waktu persekolahan.

“Terpulang kepada guru nak sokong mana-mana parti politik. Apabila kita sudah benarkan (mereka menyertai politik), itu memang sudah diberi pertimbangan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

“Kita tidak boleh diskriminasi...harapan kita sebagai kerajaan Barisan Nasional, (biarlah) mereka dapat sokong kita. Kalau mereka nak sokong pembangkang, kita tidak boleh sekat,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau akan mengakhiri lawatan rasmi empat hari ke Korea Selatan esok.

Semalam, Mohd Sidek mengumumkan bahawa pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Keputusan itu yang membabitkan 140,000 guru mewajibkan mereka mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu sebelum boleh bergiat dalam politik.

Pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan tindakan sedang diambil untuk mewartakannya.

Sebelum ini, hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran akan mengeluarkan maklumat lebih terperinci mengenai keputusan itu tidak lama lagi.

Beliau berkata keputusan itu sebenarnya mempunyai kebaikan kerana mengikut sejarah, peranan guru sebagai pemimpin dalam masyarakat sejak dahulu lagi adalah amat dihargai.

“Lebih-lebih lagi sekarang, guru perlu menjadi pemimpin dalam masyarakat. Guru mempunyai masa selain mengajar dan masa luar waktu (persekolahan) itu boleh dimanfaatkan untuk bersama masyarakat,” katanya.

“Dengan cara ini mereka boleh berperanan lebih cergas dengan syarat membuat permohonan, bukan kelulusan automatik,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak berkompromi dalam perkara melibatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan guru yang mahu berpolitik perlu memastikan mereka menunaikan tanggungjawab itu dengan sempurna.

Tiada ulasan: