KUALA LUMPUR: Bermula 1 Ogos, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang belum pernah mengeluarkan simpanan mereka di bawah Pengeluaran Membeli Rumah atau Mengurang Baki Pinjaman Perumahan KWSP berpeluang untuk membeli rumah yang lebih tinggi nilainya di bawah 'Pengeluaran Perumahan Fleksibel'.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata kemudahan itu diperkenalkan bagi membolehkan ahli yang layak mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi.
"Usaha ini adalah untuk menyokong objektif kerajaan meningkatkan kualiti hidup rakyat sejajar dengan semangat 1Malaysia. Ahli kini berpeluang merealisasikan impian mereka untuk memiliki kediaman yang lebih baik buat keluarga menerusi kelayakan pinjaman yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Pengeluaran Perumahan Fleksibel tidak akan menjejas simpanan persaraan ahli malah simpanan yang telah diasingkan itu akan terus menerima dividen tahunan dari KWSP.
"Kemudahan ini terbuka kepada ahli yang belum berumur 54 tahun semasa permohonan dibuat dan ia mesti dibuat bersama-sama dengan permohonan untuk Pengeluaran Membeli/Membina Rumah atau Mengurang Baki Pinjaman Perumahan KWSP," katanya.
Azlan berkata bagi kemudahan itu, ahli boleh memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 2 ke dalam akaun Pengeluaran Perumahan Fleksibel dan diikuti oleh pindahan amaun caruman bulanan yang ditetapkan ke dalam akaun perumahan tersebut.
Beliau berkata simpanan yang telah diasingkan di bawah Pengeluaran Perumahan Fleksibel tidak boleh dikeluarkan atau digunakan bagi tujuan pengeluaran pra-persaraan lain seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan umur 50 tahun sebelum tamat tempoh kemudahan pengeluaran ini.
"Bagaimanapun, ahli boleh menggunakan simpanan dalam Akaun 2 sekiranya masih mempunyai baki untuk pengeluaran pra-persaraan lain," katanya.
Beliau berkata setiap permohonan perlu dikemukakan oleh ahli sendiri kepada institusi kewangan di mana mereka memohon pinjaman perumahan tersebut dan setiap borang permohonan kemudiannya akan dihantar kepada KWSP oleh ibu pejabat institusi kewangan yang mengambil bahagian.
"Setakat ini, Maybank dan Public Bank telah mengesahkan penyertaan mereka dan telah bersedia untuk melaksanakan Pengeluaran Perumahan Fleksibel dan KWSP menjangkakan lebih banyak bank akan turut serta," katanya.
Azlan berkata ahli yang ingin membatalkan kemudahan itu boleh berbuat demikian hanya selepas satu tahun dari tarikh kemudahan tersebut diluluskan dan perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada institusi kewangan berkenaan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemudahan itu boleh mengunjungi cawangan KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 atau layari laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan