HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Julai 2010

Karpal syor hukum mati perogol kanak-kanak


THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati.

Karpal berkata walaupun sebelum ini beliau memperjuangkan agar hukumn mati dimansuhkan, tetapi memandangkan saban hari, semakin banyak kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah, termasuk perogol, maka sudah tiba masanya kerajaan bertindak menjaga kepentingan awam dengan melaksanakan tindakan lebih tegas dan berkesan.

“Ini boleh memberi mesej jelas kepada mereka yang bercita-cita untuk melakukan kesalahan bahawa undang-undang tidak akan lagi bertolak ansur dengan perbuatan merogol kanak-kanak yang tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Karpal (gambar) berkata kes terbaru bahawa seorang kanak-kanak berusia 10 tahun didakwa telah dirogol oleh pemandu bas sekolah yang dinaikinya, menuntut perhatian khusus tentang perlunya hukuman sedia ada bagi perbuatan itu, dikaji semula.

Semalam, polis mendapat kebenaran mahkamah untuk melanjutkan enam hari lagi tempoh tahanan reman ke atas pemandu van sekolah tersebut.

Isnin lepas, lelaki yang mempunyai anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun itu ditangkap orang ramai yang ternampak bas itu diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan, kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

Sekurang-kurangnya tiga murid perempuan sekolah rendah di Petaling Jaya telah dikenal pasti menjadi mangsa rogol pemandu bas sekolah yang ditahan itu.

Kata Karpal, mengikut Seksyen 376 (2) (e), Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Beliau berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa kesalahan tertuduh perlu dibuktikan melebihi keraguan munasabah, tetapi dalam kes di mana tertuduh didapati melakukan perbuatan demikian secara terang-terangn serta disokong oleh saksi berwibawa yang melihat perbuatan itu dilakukan, maka tiada masalah untuk membuktikan kes berkenaan di luar keraguan munasabah.

“Saya sedar tentang bahaya kemungkinan seseorang yang tidak bersalah, dikenakan hukuman. Pelaksanaan hukuman mati tidak boleh diubah kembali. Kesengsaraan yang dialami seseorang insan yang tidak bersalah, tetapi dikenakan hukuman mati, memang tidak dapat digambarkan,” katanya.

Bagaimanapun Karpal memberitahu, perbuatan merogol kanak-kanak yang tidak berdosa di hadapan orang lain, menuntut agar undang-undang sedia ada, dibuat pindaan.

Kelmarin di Kota Baru, Mohd. Roslan Ali, bapa kepada pelajar tingkatan tiga yang diculik di Besut bersyukur kerana dia tidak dirogol dan dapat ditemui semula.

Anaknya diculik dilarikan oleh penjenayah dengan menaiki sebuah Perodua Kenari.

Tiada ulasan: