PETALING JAYA: Seorang ahli parlimen DAP-Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Najib Tun Razak segera menghalang tindakan Kementerian Pengangkutan dari membayar hutang Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata bukan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melunas hutang yang ditanggung oleh KDSB jika kerja-kerja kontrak Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak dapat disiapkan dan tidak mengikut spesifikasi.
"Sungguh tidak logik langsung untuk kerajaan terus membuat bayaran apabila kerajaan sendiri tidak bersetuju bahawa kerja-kerja tidak dijalankan.
"Satu-satunya sebab Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha masih mahu membuat bayaran itu, ialah untuk melindungi kepentingan KDSB dan memastikan ianya tidak mendatangkan masalah kewangan kepada pemegang-pemegang bon," katanya kepada satu kenyataan pagi ini.
Tindakan ini dibuat walaupun ia melanggar keputusan ahli-ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) yang telah menerima nasihat perundangan yang sesuai," kata Tony, yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan.
Tony memberi komen bagi menjawab kenyataan dari Kementerian Pengangkutan semalam yang menyatakan PKA harus membuat bayaran itu kepada sebuah syarikat bertujuan khas (SPV – special purpose vehicle) sepertimana yang terdapat dalam jadual pembayaran.
Kementerian itu berkata, "kerajaan telah mengambil kira semua faktor termasuk komitmen kerajaan kepada pemegang-pemegang bon dan obligasi PKA di bawah perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani.
PKA juga telah menyatakan kesanggupannya untuk membuat bayaran kepada syarikat SPV itu.
"Sebab kementerian mahu membuat bayaran penuh berjumlah RM372 juta sehingga setakat 31 Julai 2010 tidak dapat diterima kerana PKA sekarang ini mempertikaikan kerja-kerja yang telah dibuat oleh projek kontraktor PKFZ, KDSB," katanya.
Tony Pua berkata PKA mendakwa kerja-kerja ke atas projek itu tidak lengkap dan tidak mengikut spesifikasi.
Oleh itu, katanya tidak ada obligasi undang-undang oleh PKA atau kerajaan untuk membuat bayaran kepada mana-mana pihak sehingga pertikaian diselesaikan, lagi pun PKA telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk mendapat kerja bernilai RM1.4 bilion.
Ketika menerangkan mengenai maklumat terperinci mengenai kontrak itu, Tony Pua berkata, sebagai sebahagian dari perjanjian bon tentang persiapan keselamatan, KDSB telah mengeluarkan dua surat perakuan:
- Untuk pembinaan, pembangunan dan penyiapan projek secara "turnkey";
- Untuk menampung sebarang kekurangan dalam jumlah bayaran oleh PKA melalui obligasi bayaran di bawah bon selepas diambil kira baki kredit dalam Akaun Eskrow.
"Power of Attorney"
Beliau berkata KDSB telah memberi Kuasa Penuh (Power of Attorney) kepada pemegang-pemegang bon sebagai cagaran untuk memastikan kerja-kerja pembangunan disiapkan mengikut terma dan syarat perjanjian.
"Bagaimanapun pemegang-pemegang bon boleh membatal dan menggunakan hak mereka jika KDSB tidak mengikut perjanjian.
"Dua surat Kuasa Penuh secara asasnya bermaksud jika kerajaan gagal membuat bayaran untuk projek itu kepada pemegang-pemegang bon ekoran kerja-kerja gagal disiapkan, para pemegang bon kemudian boleh menuntut dari KDSB sebarang kekurangan dalam jumlah yang harus dibayar oleh PKA," katanya.
Tony Pua berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap KDSB kerana gagal menyiapkan projek dan untuk para pemegang bon mengambil alih kerja-kerja pembangunan projek itu.
"Tindakan-tindakan ini jelas bermakna kerugian yang besar kepada KDSB, sebuah syarikat milik Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional, Tiong King Sing.
"Maka untuk mengelak Tiong memilih untuk mengarahkan PKA membuat bayaran yang telah "tiba masa" meskipun pertikaian dan litigasi masih berjalan dan memastikan projek BN ini terus beroperasi, bertujuan untuk memberi faedah kepada kroni-kroni BN.
"Apa yang mengecewakan ialah keputusan ini timbul ketika kerajaan mengamalkan perbelanjaan berhemah dan menyeru rakyat supaya menerima pemotongan subsidi.
"Tetapi apabila ia menyentuh syarikat mereka seperti Syabas dan KDSB, kerajaan BN tidak teragak-agak untuk menghulur bantuan berjuta ringgit untuk membantu mereka," katanya.
Tony Pua mencadangkan supaya Kementerian Kewangan membuat permohonan sekiranya hendak membuat apa-apa bayaran. Ia patut memasukkan ke dalam akaun amanah atau akaun eskrow yang dikendalikan oleh juruaudit-juruaudit sehingga litigasi kerajaan dengan KDSB diselesaikan di mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan