KUALA LUMPUR: Pelajar yang ditipu oleh agen penghantaran pelajar ke universiti luar negeri boleh membuat laporan polis, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Wee Jeck Seng.
“Kes itu adalah jenayah komersil," katanya menjawab soalan Senator Datuk Musa Fadzir di Dewan Negara hari ini.
Senator dari Pulau Pinang itu bertanya berapakah jumlah agen penghantaran pelajar yang dikenakan tindakan kerana menipu pelajar. Dalam jawapannya, Wee bagaimanapun tidak memberikan jumlah agen yang dikenakan tindakan.
Beliau menasihatkan pelajar supaya berhati-hati dengan pelajar dan menyemak dengan kementeriannya dan Jabatan Perkhimatan Awam (JPA) untuk pengesahan.
Menurut beliau, ketika ini ada 80 agen penghantaran pelajar ke luar negara yang berdaftar dengan kementeriannya.
“Tetapi hanya 13 agen yang aktif yang menghantar pelajar ke Russia, Indonesia dan Ireland. Manakala urusan penghantaran pelajar ke Timur Tengah dibuat sendiri oleh kementerian,” katanya.
Wee berkata, agen perlu berdaftar dengan Institusi Pengajian Tinggi luar negara jika mereka ingin menghantar pelajar. Agen perlu menghantar pelajar di negara yang selamat dan mempunyai pendidikan berkualiti.
“Kementerian sedang menggubal rang undang-undang pengajian tinggi untuk mengawal penghantaran pelajar supaya terjamin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan