KUALA LUMPUR: Pengasas ESQ Leadership Sdn Bhd Dr Ary Ginanjar Agustian hari ini menegaskan kursus ESQ tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia menggunakan Al-Quran sebagai panduan dan rujukan.
Menurutnya, pertikaian menyatakan kursus ESQ bertentangan akidah Islam adalah tidak tepat dan hanya andaian untuk menyekat penyampaian motivasi melalui suara hati yang sentiasa mengikuti ajaran Islam.
"Saya ingin menyatakan kepada umum bahawa kursus ini adalah berlandaskan agama Islam kerana rujukan sepenuhnya adalah menggunakan Al-Quran.
"Saya beragama Islam, justeru itu perkara pertama yang saya lakukan adalah mementingkan akidah dan syariat Islam untuk membantu menyampaikan ajaran" katanya dalam satu sidang media di Ampang hari ini.
Beliau berkata, kursus ESQ ini juga tidak mencampurkan agama-agama lain dan kehidupan harian tetapi mengajar peserta untuk memahami ajaran Islam di dalam jiwa.
Harap bertemu Mufti Wilayah
Sementara itu Ketua Panel Syariah ESQ Datuk Mustafa Abdul Rahman yang turut hadir berkata, pihak ESQ masih menunggu untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi bagi menjelaskan cara keseluruhan kursus tersebut dijalankan.
"Panel syariah ESQ berharap dapat bersemuka dengan Datuk Wan Zahidi untuk mendengar perjelasan mengenai 10 dakwaan yang menjadi pertikaian.
"ESQ berharap media tidak menyalah laporkan lagi mengenai dakwaan pihak ESQ akan menentang fatwa kerana ia akan menyebabkan pertemuan yang dirancang terbatas," jelasnya.
Mustafa berkata, perbincangan dengan Mufti Wilayah itu nanti akan dapat menjernihkan kembali tanggapan umum terhadap kursus ini.
"ESQ masih menunggu keputusan dari Mufti Wilayah dan berharap beliau akan segera memberi maklum balas terhadap permintaan kami," katanya.
Pengurus Besar ESQ Marhaini Yusoff menyatakan, kursus ESQ ini terus mendapat respon menggalakkan walaupun isi modulnya dipertikaikan.
"Peserta yang telah mengikut kursus ini akan memahami apa yang ingin disampaikan untuk dijadikan panduan.
"Saya berharap orang ramai tidak lagi menyalah tafsirkan kursus ESQ ini kerana kami telah memberi penjelasan bahawa kursus ini tidak melanggar sebarang syariat Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan