Oleh Norasikin Samsi
SHAH ALAM - Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata kritikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai isu pasir di Selangor dibuat semata-mata mahu meraih perhatian dan mendapat sokongan semula masyarakat Cina yang semakin hari semakin hilang keyakinan terhadap MCA.
"Sikap terburu-buru Soi Lek untuk mengejar populariti di kalngan masyarakat Cina menyebabkan bekas Menteri Kesihatan ini mengenepikan fakta sebenar.
"Perbuatan Soi Lek yang tidak membuat kajian terlebih dahulu membuktikan beliau seorang pemimpin yang dangkal dan cetek ilmu pengetahuan mengenai isu perlombongan pasir di Selangor.
"Beliau perlu menerima hakikat bahawa penubuhan syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) telah berjaya meningkatkan kutipan hasil dan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri," kata Teresa selepas mesyuarat Exco semalam.
Teresa menjelaskan, penubuhan KSSB ini bukan sahaja bertujuan mengaut keuntungan hasil perlombongan pasir malah telah berjaya mengawal industri pasir.
Menerusi tender terbuka juga katanya, KSSB berjaya mengurangkan kecurian pasir yang telah berlaku secara besar-besaran di bawah pentadbiran BN.
Katanya, meskipun aktiviti curi pasir masih dan tidak berjaya dibanteras sepenuhnya ketika ini, namun aktiviti curi pasir berterusan kerana tindakan yang diambil dilihat sekadar melepaskan batuk di tangga.
"Kritikan tidak berasas Presiden MCA ini menunjukkan sikap sebenar MCA yang suka membuat silap tetapi menyalahkan orang lain atas kesilapan itu. Namun sikap menuding jari kepada orang lain ini telah membinasakan MCA.
"Malah negara juga mengalami kerugian RM6 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disebabkan salah urus tadbir dan silap percaturan pemimpin-pemimpin MCA.
"Soi Lek hanya berdiam diri dalam isu ini walaupun beliau sedar pemimpin MCA yang menyebabkan kerugian besar melibatkan wang pembayar cukai.
"Oleh itu, Presiden MCA ini hanya layak menjadi orang terakhir yang bercakap mengenai pengurusan kewangan," katanya.
Teresa berkata Soi Lek bukanlah orang yang layak untuk membuat sebarang komen terhadap pengurusan kewangan kerajaan Selangor terutamanya melibatkan isu perlombongan pasir.
Beliau berkata, kritikan terhadap pengurusan pasir oleh Soi Lek membuktikan beliau ketinggalan dalam isu ini tanpa memeriksa fakta sebenar.
Sebelum membuat kritikan, Teresa menegaskan Soi Lek sepatutnya terlebih dahulu meneliti rekod kutipan hasil dan pembayaran royalti hasil perlombongan pasir di Selangor dan membuat perbandingan dengan angka-angka yang dicatatkan ketika pentadbiran Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat.
Menurut Teresa, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Selangor, hasil pengeluaran pasir tersebut meningkat berkali ganda sehingga RM15.3 juta sehingga pertengahan tahun ini berbanding kerajaan terdahulu yang hanya mencatatkan keuntungan hanya RM4.29 juta pada 2007.
"Angka-angka ini jelas membuktikan di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, keuntungan dan royalti perlombongan pasir di Selangor telah melonjak berbanding di bawah pentadbiran BN.
"Ini jelas membuktikan kerajaan Pakatan lebih baik berbanding BN dalam pengurusan pasir tetapi Soi Lek hanya menutup mata dan membuat komen yang tidak berasas serta jauh menyimpang dari fakta sebenar," jelas Teresa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan