HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Julai 2010

Dialog: Mazlan belum terima jawapan Ahmad

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) belum menerima sebarang maklum balas daripada Datuk Ahmad Maslan berhubung dialog isu Felda.

Beliau yang sebelum ini menghantar surat jawapan menerima dialog itu kepada Ahmad, sedang menunggu respons positif daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Felda itu.

"Kita dah hantar surat jawapan menerima dialog, setakat ni belum ada apa-apa maklumat atau jawapan dari Datuk Ahmad Mazlan.

"Kita masih lagi tunggu sebarang maklum balas dari beliau," katanya kepada Harakahdaily.

Isu dialog ini timbul ekoran berlaku penyusutan rizab tunai Felda daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009.

Menjelaskan punca kemerosotan itu, Ahmad di Dewan Rakyat sebelum ini memberitahu ia kononnya diguna untuk "kebajikan" peneroka.

Menurutnya, RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda.

Namun bagi Mazlan, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berpendapat, banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut di samping mempunyai bukti berlaku penyelewengan dalam urus tadbir Felda.

Sehubungan itu, beliau telah mempelawa Ahmad untuk berdebat secara terbuka bagi membincangkan isu tersebut, namun ditolak.

Ahmad bagaimanapun bersetuju jika hanya dialog diadakan kerana mendakwa debat yang mahu dianjur Anak adalah untuk publisiti murahan.

Setelah mempertimbangkan perkara itu, Mazlan kemudiannya bersetuju untuk hanya berdialog dengan Ahmad dengan syarat ianya diadakan secara terbuka agar masyarakat boleh mengetahui isu yang akan dibangkitkan.

Pada surat jawapan terima untuk berdialog yang dihantar, Mazlan turut mencadangkan tarikh dialog dibuat pada 9 Julai di ibu pejabat Felda Jalan Semarak.

Dalam pada itu, berhubung isu sama Mazlan bersama beberapa peneroka juga telah membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal bulan ini.

Turut diserahkan beberapa dokumen tambahan berhubung dakwaan pecah amanah, salah guna kuasa dan penyelewengan, antaranya di Felda Sungai Buaya dan Gedangsa di Hulu Selangor dan Felda Lurah Bilut di Pahang.

Beliau juga telah dipanggil oleh SPRM pada hari yang sama beliau membuat laporan ke SPRM untuk diambil kenyataan di pejabat SPRM Bandar Baru Serting.

Tiada ulasan: