HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2010

Himpunan Warga Felcra Kebangsaan Pertama Ahad ini


Logo_Felcra Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Walaupun tidak mendapat permit polis, Himpunan Warga Felcra Kebangsaan pertama di Pasir Salak, Ahad ini akan diteruskan, kata penaung Mazlan Aliman.

"Program tersebut akan diteruskan. Beberapa pemimpin politik akan datang bersama peserta Felcra dari negeri-negeri di Kampung Pasir Rentang, Kubu Gajah, Pasir Salak kawasan parlimen Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Ali.

"Peserta dari Johor, Pahang dan Terengganu sudah memberitahu saya hasrat mereka untuk datang ke program tersebut.

"Sasaran kita perhimpunan ini dihadiri oleh 1,000 peserta Felcra dari seluruh negara tetapi kita tengoklah nanti," kata Mazlan ketika dihubungi hari ini.

Mazlan menjelaskan acara utama perhimpunan tersebut ialah wakil peserta akan menceritakan penyelewengan Felcra di tempat mereka.

Katanya, ini penting supaya masyarakat tahu mengenai penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh Felcra.

"Saya sendiri akan mendedahkan 17 penyelewengan Felcra. Felcra ini sudah 44 tahun dan mempunyai 18 buah anak syarikat dan asetnya bernilai berbilion ringgit.

"Felcra sepatutnya boleh membantu pesertanya yang rata-rata orang Melayu. Tetapi apa yang kita dengar lebih banyak negatif dari positif," katanya.

Selepas perhimpunan pertama itu, perhimpunan di peringkat negeri dan di kawasan Felcra akan diadakan di seluruh negara.

Kata Mazlan, beliau berharap sebuah NGO dapat diwujudkan khusus untuk kebajikan dan menangani masalah peserta Felcra.

"Sebelum ini kita wujudkan Anak untuk peneroka Felda, kali ini kita hendak adakan sebuah NGO untuk peserta Felcra pula," katanya.

Tiada ulasan: