KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggesa anggota parti itu agar menggunakan sepenuhnya media baru bagi menjawab dakwaan pembangkang.
Beliau berkata MCA lemah daripada segi strategi publisiti khususnya dalam penggunaan media baru untuk menyebarkan maklumat kerana parti itu terlalu bergantung kepada media arus perdana.
"Kita lemah daripada segi publisiti bukan kerana kita malas, tetapi kerana kita memegang kuasa terlalu lama menyebabkan kita sudah tidak tahu bagaimana untuk memainkan peranan sebagai pembangkang," katanya ketika melancarkan Sesi Twitter Presiden di sini, Khamis.
Beliau berkata kurangnya anggota MCA yang menulis blog dan 'twitting' menyebabkan pembangkang lebih ke hadapan ketika perang publisiti.
"Justeru, saya menggesa anggota parti agar menggunakan Internet dan Twitter untuk memberitahu rakyat perkara sebenar," kata Dr Chua.
Dr Chua juga berkata tidak semua maklumat yang ditulis dalam blog dan twitter itu benar menyebabkan sukar bagi rakyat untuk memilih antara maklumat benar dan palsu.
"Tidak ada kerajaan yang boleh menyekat penyebaran maklumat menerusi Internet, justeru generasi muda tidak harus mempercayai semua yang dibaca menerusi blog," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong yang turut hadir pada majlis tersebut berkata twitter yang dirancang oleh Pemuda MCA bertujuan menyampaikan maklumat kepada pengundi dan anggotanya dengan cepat dan berkesan.
Beliau berkata langkah itu dapat membantu Pemuda MCA memantau maklumat yang disebarkan melalui media baru tersebut.
"Mereka yang menjadi pengguna twitter ini sepatutnya menyampaikan mesej dengan ringkas dan betul," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan