HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2010

Suara Keadilan nafi PKR mahu saman KDN

Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM: Ura-ura PKR bercadang menyaman Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menggantung permit akhbar Suara Keadilan (SK) tanpa alasan munasabah dinafikan sendiri oleh editornya, Dzulkarnain Taib.

"Kita belum lagi terfikir ke arah itu, apa yang kita tumpukan adalah penerbitan tidak berkala dan minggu ini akan masuk terbitan keempat," ujarnya petang tadi di pejabat editorial SK, di sini.

"Memang tidak ada cadangan ke arah itu setakat ini."

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menunggu ketetapan KDN memandangkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada dua minggu lalu telahpun bersetuju untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Namun, katanya, pihak berwajib belum memberi maklum balas berhubung permohonan semula permit akhbar oleh Suara Keadilan serta Roket milik DAP.

"Surat telahpun dihantar oleh Majlis (Pimpinan) Pakatan Rakyat, mengapa KDN dan menteri (Hishammuddin) mengambil sikap membisu," soalnya.

Ujarnya, sepatutnya pihak berwajib perlu proaktif kerana mereka mewakili kerajaan.

"Sikap membisu sebenarnya tidak menyelesaikan masalah, apa yang penting mereka perlu menyatakan pendirian," beliau menambah.

Sebelum pada itu, Dr. Samaruddin Rejap, peguam mewakili Suara Keadilan berkata, beberapa anak guamannya pagi tadi diminta mengaku sama ada mereka menerima surat tunjuk sebab atau tidak pada 2 Julai lalu.

"Sebenar Polis memanggi Rohani, iaitu pengurus bahagian sumber manusia Suara Keadilan adalah untuk diambil keterangan, terima atau tidak sampul surat (tunjuk sebab) daripada KDN," ujarnya.

Pun begitu, beliau menafikan bahawa panggilan tersebut ekoran pengedaran tiga akhbar tidak berkala menggantikan akhbar Suara Keadilan.

Tambahnya lagi, isu major yang sepatutnya ditonjolkan bukanlah kegagalan Suara Keadilan mendapatkan permit akhbar, sebaliknya isu 'kebebasan akhbar'.

Pada 2 Julai lalu, Suara Keadilan menerima surat tunjuk sebab dari KDN ekoran menyiarkan laporan 'Felda Bankrap' dalam akhbar lidah rasmi PKR itu.

Difahamkan, pendedahan kontroversi itu dianggap mencalar kepemimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penaung Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pendedahan itu turut mengakibatkan pejabat editorial beberapa kali dipantau dan pernah diserbu oleh KDN dan polis.

Pendedahan laporan 'Felda Bankrap' akhirnya menyaksikan permit akhbar Suara Keadilan digantung dengan alasan-alasan yang langsung tidak munasabah sehingga sekarang.

Tiada ulasan: