HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Julai 2010

PKNS Ikon Kebanggan Rakyat Selangor


SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Pemaju hartanah tempatan terkemuka, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sinonim dengan perumahan kos rendah dan mampu milik di Selangor kini menjadi ikon serta kebanggaan rakyat negeri ini kerana kebolehannya untuk terus kukuh beroperasi sejak 46 tahun penubuhannya.

Semangat kerjasama berpasukan serta perkhidmatan selepas jualan antara kunci kejayaan anak syarikat Kerajaan Selangor ini untuk terus bersaing dalam dunia konglomerat tempatan dan antarabangsa setaraf syarikat hartanah gergasi lain di negara ini.

Meskipun banyak syarikat seangkatan dengannya gulung tikar ketika kegawatan ekonomi global melanda negara ini namun PKNS tetap teguh dengan memastikan projek-projek hartanahnya disiapkan mengikut jadual serta polisi jaminan siap sentiasa ditepati bagi memenuhi kehendak pelanggan-pelanggannya.

“Pada 2009 kita mencapai banyak kejayaan antaranya PKNS dinobatkan oleh SMI dan SME Worldwide Network dengan Anugerah Agensi Pembangunan Ekonomi Negeri Terbaik di Malaysia, malah pada tahun lepas juga kita turut dianguerahkan The Best Strategic Public and Private Partnership oleh Press and Business Review”.

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar berkata demikian kepada Tv Selangor pada Majlis Makan Malam dan Kesyukuran Sempena Ulang Tahun PKNS ke-46 bertempat di Hotel De Palma, Seksyen 7 malam tadi.

Katanya PKNS perlu melipatgandakan keuntungan daripada pelaburan dan jualan hartanah sedia ada bagi membolehkannya terus menyalurkan bantuan dan sumbangan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat Selangor khususnya dalam projek-projek rumah kos rendah dan mampu milik.

“Kita perlu memastikan PKNS sentiasa relevan dan mendapat keuntungan sebab ini adalah amanah rakyat kepada semua warga PKNS supaya kita dapat meneruskan operasi kita dan sentiasa mencapai keuntungan yang munasabah supaya kita boleh menyumbang balik kepada lebih 5 juta rakyat di negeri Selangor”, jelas Othman.

Mengulas rahsia kejayaan PKNS tetap teguh beroperasi puluhan tahun beliau berkata organisasi secara dalaman perlu diperkasakan menerusi transformasi budaya kerja yang efisien, kukuh dan berkesan. Natijahnya produk dan perkhidmatan yang PKNS hasilkan adalah yang terbaik sekaligus memenuhi citarasa pengguna pelbagai peringkat.

“PKNS selama ini tidak pernah gagal dalam mana-mana projek jadi itu satu kekuatan kita, di mana pelanggan kita boleh pastikan sama ada rugi atau sedikit untungnya, kita pastikan akan siapkan projek-projek yang kita mulakan, itu kelebihan yang PKNS dapat sebab pelanggan-pelanggan kita percaya yang PKNS tidak akan gagal dalam melaksanakan mana-mana projek”, katanya.

Tiada ulasan: