HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2010

Air: Kerajaan Selangor sedia ke Mahkamah

Harakahdaily

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor tetap tidak bersetuju dengan kenaikan tarif air yang dikenakan kepada pelanggan dan bersedia mempertahankan pendiriannya meskipun terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, dasar kerajaan negeri jelas, iaitu mengutamakan keprihatinan dan kepedulian terhadap rakyat Selangor dalam setiap keputusan, termasuk dalam isu air.

"Kerajaan negeri menegaskan di sini bahawa dalam isu air, dalam apa jua keadaan tidak akan bersetuju dengan kenaikan tarif air yang dikenakan kepada pelanggan dan bersedia mempertahankan pendirian ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Syarikat bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air.

Kerajaan negeri juga menganggap keputusan Syabas itu seolah-olah mahu memberi tekanan kepada kerajaan negeri agar menerima skim penyelesaian yang dicadangkan kerajaan persekutuan.

"Kerajaan negeri Selangor tidak menghalang mana-mana pihak termasuk Syarikat bekalan Air Selangor Sdn Bhd untuk mendapat pengadilan dan pembelaan di mahkamah.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri hairan apabila tiba-tiba isu membawa kes ke mahkamah ditimbulkan oleh Syabas," katanya lagi.

Beliau sebaliknya menegaskan, kerajaan negeri yakin dan mempunyai asas yang kukuh untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Syabas kerana melanggar syarat perjanjian konsesi termasuk cuba menaikkan tarif air tanpa mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Kerajaan Selangor tegasnya, telah lama bersedia untuk berbuat demikian tetapi menangguhkan tindakan ini kerana tidak mahu memberi sebarang prasangka terhadap perbincangan yang sedang dijalankan antara mereka, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi terlibat serta syarikat konsesi termasuk Syabas.

Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Lee Miang Koi sebelum ini berkata, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion.

Tiada ulasan: